Atilia Haron Mahu Kembali Fokus Karier Nyanyian

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2016 5:40 AM

Atilia bakal muncul dengan album terbaharu pada Mei depan. Foto SAMUEL ONG

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Atilia Harun mahu kembali fokus dalam bidang nyanyian selepas beberapa tahun dilihat sepi tanpa sebarang album baharu.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron, 42, berkata, sebelum ini dia lebih banyak memberikan tumpuan kepada perniagaan pusat yoga iaitu Yoga One That I Want yang kini mempunyai tujuh buah cawangan di sekitar Lembah Klang.

"Sebenarnya saya masih aktif menyanyi terutama di acara korporat dan tertutup tetapi jarang muncul di dalam rancangan televisyen atau pun media.

"Dalam tempoh beberapa tahun ini karier nyanyian saya memang agak perlahan kerana tumpuan saya banyak diberikan kepada perniagaan.

"Namun tahun ini saya akan buat sehabis baik untuk merancakkan kembali karier nyanyian termasuk dengan kemunculan album ketiga," katanya kepada mStar Online.

Atilia ditemui pada sidang media pelancaran muzik video single terbaharunya berjudul Aku Curiga di sini, Khamis.

Atilia rakam semula lagu nyanyian ibunya berjudul Aku Curiga.

Lagu berkenaan adalah nyanyian asal ibunya sendiri iaitu Salamiah Hassan pada era 80-an.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai single terbaharunya, Atilia berkata, dia merakamkan semula lagu tersebut sebagai tanda penghargaan kepada ibunya.

"Lagu berkenaan sangat sedap tetapi ia kurang popular namun saya sangat sukakannya dan ingin merakamkan semula sebagai penghargaan kepada ibu saya.

"Jika bukan saya yang ingin mengangkat kembali lagu-lagu nyanyian ibu siapa lagi bukan?," katanya.

Dalam perkembangan sama, Atilia berkata, album ketiganya bakal dilancarkan pada Mei depan dan setakat ini lapan lagu sudah disiapkan.

Kata Atilia, menerusi album tersebut dia juga turut berduet dengan Salamiah menerusi sebuah lagu baharu berjudul Jewels of My Heart.

Rakan baik Atilia iaitu Sazzy Falak, Yasmin Hani dan Aishah Sinclair turut memeriahkan majlis. 

"Saya teruja dengan kemunculan album ketiga ini kerana kali terakhir saya muncul dengan album adalah pada tahun 2010 iaitu Indah.

"Album ketiga ini juga sebagai penanda aras bahawa saya masih dalam industri dan sebab itu saya mahu aktif kembali pada tahun ini," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai album berkenaan, Atilia berkata, ia turut menampilkan lagu duet bersama Adibah Noor iaitu Sandaranku dan single kedua berjudul Segalanya duet bersama Lokman.

Ia diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Mujik Production dan edaran Warner Music Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Atilia Haron , Aku Curiga

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan