Lebih 1,000 Tiket 'Mat Moto' Terjual Untuk Hari Pertama Tayangan

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2016 12:30 PM

Mat Moto filem arahan pertama Pekin Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim memberitahu tiket untuk filem pertama arahannya Mat Moto yang menjadi kontroversi sudah terjual biarpun filem tersebut akan ditayangkan pada Khamis ini.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, sambutan luar biasa itu turut membuatkan permintaan tayangan di panggung seluruh negara meningkat.

"Alhamdulillah, sambutan awal memang baik kerana sudah 1,500 tiket terjual untuk tayangan hari pertama, bukan sahaja pawagam di Kuala Lumpur, malah di seluruh negara.

"Selain itu, kami juga mendapat permintaan untuk menambah daripada 84 panggung ke 90 panggung seluruh negara," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, pada Rabu.

Pekin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan tayangan filem Mat Moto yang bakal memasuki panggung pada Khamis.

Shaheizy Sam antara pelakon popular yang terlibat dalam filem Mat Moto.

Terdahulu pada 24 Disember lalu pengarah Ahmad Idham turut menayangkan filem dengan tajuk serupa selepas berlaku konflik mengenai karya berkenaan antara dia dan Pekin.

Sementara itu, ditanya tentang tiada sebarang tayangan media seperti mana yang dilakukan untuk kebiasaan filem-filem lain bagi tujuan promosi, Pekin berkata, ia ada sebab tertentu.

Katanya, pihak penerbit tidak dapat menganjurkan tayangan media berikutan kesuntukan masa dan hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

"Kami pada awal memang merancang untuk adakan tayangan media, namun ada banyak kekangan iaitu isteri Syafiq Yusof selaku pengarah bersama baru sahaja bersalin, manakala Syamsul pula sedang sibuk dengan filem Munafik.

"Ramai juga yang bertanya tentang ini terutama pihak penaja, tapi tidak mengapa, saya sudah yakinkan mereka seperti filem sebelum ini Villa Nabila tetap mendapat sambutan biarpun kurang promosi dan tiada tayangan media," ujarnya.

Pekin berkata, dia percaya jika sesuatu karya yang baik tetap akan tetap mendapat sambutan biarpun tiada promosi. Dia juga akan menggunakan media sosial sebagai strategi untuk mempromosikan filem tersebut sepanjang ia ditayangkan.

"Saya juga percaya respons yang baik daripada penonton juga mempengaruhi masyarakat untuk pergi ke panggung menonton filem ini.

"Selain itu, saya dan rakan-rakan artis akan terus menghebahkan tentang filem ini di laman sosial," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui agak berdebar untuk menunggu reaksi penonton terhadap filem berkenaan. Filem Mat Moto merupakan terbitan Viper Studios dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Mat Moto
turut mengumpulkan ramai pelakon terkenal seperti Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Rosyam Nor, Cat Farish, Zul Huzaimy termasuk Pekin sendiri.
Tags / Kata Kunci: Mat Moto , Pekin Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan