Netflix Perluas Rangkaian Ke 190 Negara Termasuk Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2016 3:17 PM

Netflix kini di Malaysia.

(Ubah saiz teks)

LAS VEGAS: Perkhidmatan strim video terbesar Netflix, pada Khamis memperluaskan perkhidmatanya ke 190 buah negara dan menjadikan ia sebagai perkhidmatan TV Internet dengan penambahan 130 pasaran baharu termasuk Malaysia.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Netflix, Reed Hastings, berkata, setakat ini perkhidmatan yang berpengkalan di California itu sudah berjaya menarik seramai 70 juta pelanggan dengan langganan bulanan tanpa had.

"Hari ini anda sedang menyaksikan pelancaran rangkaian global TV Internet baru dengan pelancaran ini, pengguna di seluruh dunia akan menikmati rancangan TV dan filem tanpa perlu menunggu.

"Perkhidmatan Netflix telah disiarkan secara langsung hampir setiap negara kecuali China, di mana kami berharap pada masa akan datang," ujarnya.

Netflix berkata dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka akan terus berusaha menembusi pasaran di China yang merupakan negara paling ramai penduduk, di mana kerajaan negara tersebut perlu penapis kandungan dalam talian sebelum disiarkan kepada rakyat mereka.

"Netflix berminat untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk China, namun memerlukan kebenaran khas daripada kerajaan di sana dan ia bakal mengambil masa yang agak panjang," ujarnya.

Sementara itu, selain China, negara Crimea, Korea Utara dan Syria juga tidak menerima perkhidmatan Netflix berikutan polisi sekatan kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, biarpun bahasa Inggeris merupakan bahasa utama bagi kebanyakan pasaran baru, Netflix berkata mereka telah menambah tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Korea dan Cina menjadikan kesemuanya 17 bahasa ditawarkan.

"Mulai hari ini kami akan beransur-ansur menambah lebih pilihan banyak bahasa, kandungan yang boleh menarik minat orang ramai kepada Netflix.

"Kami tidak sabar untuk membawa cerita-cerita hebat dari seluruh dunia kepada pelanggan Netflix," kata Hastings.

Bermula dengan pelancaran di Amerika Syarikat, Netflix kemudian berkembang ke Kanada, Amerika Latin, Eropah, Australia, New Zealand dan Jepun.

Dalam pada itu, Netflix juga telah beralih kepada memberi kepentingan kepada kandungan program yang lebih asli, namun ia berbeza-beza mengikut negara berikutan tawaran pelesenan tempatan.

"Kami mahu rakyat seluruh dunia mempunyai akses untuk menonton kandungan yang sama. Bagaimanapun, ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kandungan yang konsisten di seluruh dunia," ujarnya.

Pada 2016, syarikat itu turut merancang untuk menyiarkan 31 program baharu dan ulangan, 24 buah filem rencana termasuk rancangan komedi serta 30 program kanak-kanak.
Tags / Kata Kunci: Netflix

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan