Hairul Azreen Belajar Masak Demi Anak Dikandung Isteri

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2015 6:00 AM

Hairul Azreen dan Hanis Zalikha tidak sabar menanti kelahiran anak pertama mereka. Foto dari Instagram Hanis Zalikha.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Hanis Zalikha memberitahu sejak dia disahkan mengandung, suaminya Hairul Azreen menunjukkan perubahan termasuklah rajin ke dapur.

Hanis, 25, berkata, Hairul kini sudah belajar memasak dan mengambil tahu maklumat makanan yang sesuai untuk ibu mengandung.

"Hairul insan paling bahagia dan teruja bila tahu tentang berita ini, dia sudah menunjukkan ciri-ciri seorang bapa.

"Saya lihat dia sekarang belajar pelbagaikan menu dalam masakannya sebab mahu jaga pemakanan saya dan anak dalam kandungan. Dia juga sudah mula membayangkan sekolah mana anak ini bakal belajar dan mereka bermain badminton bersama-sama," ujarnya kepada mStar Online.

Hanis diminta mengulas tentang perkembangan kandungannya yang kini sudah masuk empat bulan.

Berita kehamilannya diumumkan ketika mereka menunaikan umrah pada 19 Disember lalu.

Hairul Azreen mengumumkan kandungan isterinya pada gambar yang dirakamkan di Jabal Rahmah ketika menunaikan umrah pada 19 Disember lalu. Foto dari Instagram Hairul Azreen.

Dalam pada itu, Hanis juga mengutamakan pemakanan yang sihat dan tidak mengambil sebarang makanan segera, air bergas dan daging proses.

"Trimester pertama saya sangat suka makan buah-buahan pelbagai jenis. Saya juga makan banyak iaitu kira-kira lima hingga enam kali sehari dan mengunyah sepanjang masa.

"Cuma saya ambil banyak makanan berkhasiat dan jauhkan makan makanan segera. Selepas masuk trimester kedua ini, saya sudah kurang sedikit makan, Cuma saya pastikan makan bila tiba masa," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang persiapan, Hanis berkata, mereka dalam proses menyediakan sebuah bilik permainan khas untuk kanak-kanak.

Katanya, ia bukan sahaja untuk anak mereka, malah kepada anak saudara yang bertandang.

"Persiapan sambut kelahiran belum lagi kerana masih terlalu awal, namun saya akui perasaan untuk buat persiapan itu memang tidak sabar.

"Setakat ini, kami sudah sediakan satu bilik khas yang dihias untuk tempat mainan kanak-kanak di rumah baru kami," ujarnya.

Tambah Hanis, dia dijangka bakal bersalin pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka sekitar Jun tahun depan.

Dalam pada itu, ditanya tentang waktu pengumuman kehamilannya yang dilakukan di Mekah Hanis berkata, waktu tersebut adalah difikirkan paling baik dan sesuai.

Perkara tersebut dirancang oleh  Hairul berikutan ia tempat paling afdal untuk membaca doa-doa kiriman sahabat dan peminat.

"Kami rancang menunaikan umrah sebelum tahu tentang kehamilan. Bila disahkan mengandung, saya nekad untuk pergi sebab keluarga dan Hairul beri semangat.

"Bila nampak peluang yang baik dan waktu sesuai, Hairul tetapkan untuk umum di tanah suci supaya kami dapat baca doa-doa kiriman sahabat dan peminat. Saya suka pemikiran dia kerana saya sendiri tidak terfikir tentang itu," ujarnya.

Hairul Azreen dan Hanis Zalikha diijabkabul pada 5 Jun 2015 di kediaman wanita itu di Bukit Jelutong dekat sini.
Tags / Kata Kunci: Hanis Zalikha , Hairul Azreen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan