Chef Riz Mampu Selesaikan Konflik Rumah Tangga

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2015 1:30 PM

c

Chef Riz

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tukang masak selebriti Chef Riz tidak menafikan terdapat sedikit konflik rumah tangga antara dia dengan isteri, Shikin Maembong namun ia berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuwan, 33, berkata, masalah tersebut berlaku kerana kesibukannya dengan perniagaan tetapi ia tidaklah serius sehingga perkahwinan mereka goyah seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

"Tidak ada apa yang serius berlaku antara saya dan isteri. Cuma sejak akhir-akhir ini saya sibuk menguruskan restoran dan beberapa perniagaan lain membuatkan masa saya bersama isteri dan anak sangat terhad.

"Biasalah orang perempuan merajuk. Tambahan pula Shikin seorang yang berjiwa lembut, jadi dia mudah terasa.

"Saya malas nak layan apa yang orang luar fikir tentang kami. Tiada faedah pun. Biasalah suami-isteri, mesti sedikit sebanyak akan ada konflik-konflik kecil," katanya kepada mStar Online.

Shikin dan anaknya, Arianna.

Minggu lalu, terdapat beberapa pihak di forum hiburan membincangkan mengenai rumah tangga Riz dan Shikin kononnya sedang dilanda badai.

Malah Shikin pula kerap memuat naik status-status sedih di Instagram miliknya sehingga ia menimbulkan tanda tanya.

Bagaimanapun, kata Riz, memandangkan perkahwinannya dengan Shikin merupakan yang kedua, dia enggan masalah serius mengganggu rumah tangga mereka.

Apatah lagi dia bersyukur mempunyai seorang wanita yang sangat lemah lembut dan baik sebagai isteri dan ibu kepada anaknya, Putri Arianna Natasya yang berusia tujuh bulan.

"Selalunya saya buat dia merajuk, jadi kenalah pujuk ambil hatinya semulakan? Dia seorang isteri dan ibu yang sangat baik dan berjiwa lembut. Tak mungkin saya akan abaikannya begitu sahaja.

"Apatah lagi perkahwinan kami masih baru dan kami sedang belajar mengenai diri masing-masing. Yang penting dalam perkahwinan, kita perlu bertolak ansur," tuturnya.


Chef Riz 

Sementara itu, selain menguruskan perniagaan jualan langsung (MLM) dan restorannya, Flavours Kitchen yang terletak di Dataran Jelatik Setiawangsa Riz berkata, dia kini sedang merancang membuka restoran masakan tempatan bersama adiknya, Serina.

Malah dia juga merancang untuk menjadi perunding makanan dan minuman (F&B).

"Sebenarnya saya dan Serina merancang macam-macam perniagaan dalam bidang masakan ini.

"Kami mahu pelbagaikan perniagaan masakan, malah kami juga merancang untuk membuat perniagaan 'food truck', di mana ia dilihat sangat trending dan dekat dengan masyarakat kita pada masa kini," ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga tidak sangka secara tiba-tiba Flavours Kitchen menjadi perhatian ramai pelanggan gara-gara ia viral di internet.

"Sepanjang lima tahun Flavours Kitchen beroperasi, kami hanya menerima pelanggan yang normal. Tetapi sejak nama Flavours Kitchen menjadi viral, restoran menjadi penuh setiap masa.

"Sampaikan pekerja-pekerja mengeluh kerana terlalu penat. Kasihan mereka. Tetapi ia adalah satu perkara baik untuk memajukan lagi restoran itu. Alhamdulillah, rezeki anak," katanya yang mengajak orang ramai berkunjung ke restorannya itu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Flavours Kitchen, sila klik pautan ini: http://www.flavours-kitchen.com/home.html

Tags / Kata Kunci: Chef Riz

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan