Single 'Mengapa' Bukti Anis Al Idrus Serius Jadi Penyanyi

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 5:30 AM

Anis Al Idrus muncul dengan single pertama berjudul Mengapa. Foto ART CHEN

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Anis Al-Idrus memberitahu kemunculan single pertamanya berjudul Mengapa bukti dia serius untuk bergelar penyanyi.

Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 27, berkata, peluang diberikan oleh pihak Music Space untuk merakamkan lagu berkenaan disambut dengan tangan terbuka kerana sudah menjadi impiannya untuk menceburi bidang itu.

"Kemunculan saya dalam bidang nyanyian bukan sekadar suka-suka tetapi memang telah menjadi impian saya untuk bergelar penyanyi.

"Apabila diberi peluang tersebut saya ambil kerana ia bukan datang setiap hari," katanya kepada mStar Online.

Bercakap lanjut mengenai Mengapa, Anis menyangkal lagu berkenaan mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya yang sebelum ini bercinta dengan aktor Sharnaaz Ahmad.

Anis Al Idrus.

Jelas Anis, lagu berkenaan tiada kena mengena dengan dirinya selain ia dihasilkan komposer Indonesia iaitu Ully Ramadani dan lirik oleh Maya Lee.

"Tiada kena mengena dengan kisah hidup saya dan saya cuma menyanyikan lagu yang diberikan kepada saya. Harap tiada siapa yang salah faham berhubung soal ini," jelasnya.

Tambah Anis, dia masih menanti reaksi peminat terhadap lagu tersebut memandangkan ia baharu sahaja dilancarkan.

Sementara itu, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia kini sedang giat menguruskan perniagaan pakaian dan tudung di bawah jenamanya iaitu Anisse & Babe dan Nish By Anis Al Idrus.

"Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan dan saya sedang dalam proses memperkenalkan semula jenama berkenaan kepada pelanggan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Anis Al Idrus , Mengapa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan