Impian Fazlina Tercapai Dapat Bergandingan Dengan Ogy Ahmad Daud

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 5:00 AM

Fazlina bergandingan dengan kakaknya Ogy Ahmad Daud menghidupkan babak dalam teater tersebut. - Foto Selebriti Online.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Impian pelakon Fazlina Ahmad Daud untuk berlakon disamping kakaknya, Ogy Ahmad Daud tercapai apabila mereka digandingkan dalam teater Bawang Putih Bawang Merah.

Fazlina, 40, berkata, penantian selama 20 tahun akhirnya terbayar kerana Ogy bukan sahaja kakaknya malah mentornya dalam bidang lakonan.

"Ini adalah saat yang paling saya tunggu-tunggu selama 20 tahun terlibat dalam bidang seni dan akhirnya saya dapat bergandingan dengan Kak Ogy menerusi teater ini.

"Apabila diberitahu beliau bakal terbabit sama dalam teater ini saya terkejut dan tiada kata dapat diucapkan selain gembira," katanya.

Fazlina berkata demikian ketika ditemui selepas pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah di Panggung Sari, Istana Budaya di sini, Jumaat lalu.

Selain Fazlina dan Ogy, teater arahan Erma Fatima itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Fathia Latiff, Juliana Evans, Syarul Ridzwan, Beto Kusyairi, Ungku Ismail, Nabila Huda dan Dafi.

Pelakon yang menjayakan teater Bawang Putih Bawang Merah. Foto Selebriti Online. 


Ia mula dipentaskan sejak 3 Disember lalu sehingga 8 Disember ini.

Dalam pada itu, Fazlina berkata, meskipun mereka adalah adik-beradik namun sepanjang latihan Ogy profesional dalam memastikan dapat memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

Kata Fazlina lagi, dia bertuah mendapat bimbingan kakaknya memandangkan mereka banyak babak bersama.

"Saya membawakan watak sebagai Mak Labu manakala Kak Ogy Mak Kundur dalam pementasan tersebut jadi kamu banyak babak bersama.

"Sepanjang latihan banyak ilmu yang saya kutip daripadanya dan harap-harap saya dapat membuatnya bangga dengan persembahan saya," jelasnya.

Sementara itu, Ogy berkata, sebagai kakak dia melihat peluang bergandingan dengan adiknya sebagai satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

Malah kata Ogy, dia berbangga dengan pencapaian Fazlina dan kecemerlangannya membawakan watak Mak Labu harus diberi pujian.

"Saya seronok berlakon disampingnya dan ini adalah masa untuk dia ketengah sebagai pelakon," ujarnya.

Tambah Ogy, dia juga berbangga dengan pencapaian pelakon lain dalam teater berkenaan yang bersungguh-sungguh menjayakan watak mereka biarpun ada di antara mereka masih baharu di pentas teater.

"Walaupun tiada pengalaman tetapi kesungguhan dan keinginan mereka untuk belajar harus saya puji.

"Ini adalah medan mereka untuk mengutip ilmu kerana wajah-wajah ini yang akan menjadi pelapis pada masa hadapan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Fazliana , Ogy Ahmad Daud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan