Pengacara Naz Amalkan Puasa Sunat Gara-Gara Banyak Makan

Diterbitkan: Sabtu, 5 Disember 2015 5:30 AM

Naz lakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatan. - Foto Facebook Nazrudin Rahman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengacara rancangan Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) Naz mengamalkan berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis setiap minggu sebagai salah satu cara menjaga kesihatan kerana terlalu banyak makan.

Naz atau nama sebenarnya, Nazrudin Rahman, 37, memberitahu amalan tersebut membantu mengawal tahap pemakanan yang tidak seimbang akibat tugasnya sebagai pengendali program makanan.

"Bagi mengelakkan pelbagai penyakit akibat gaya makanan tidak seimbang, saya ambil langkah berpuasa setiap Isnin dan Khamis selain ia adalah ibadat sunat bagi umat Islam.

"Selain itu saya juga sering berjoging dan ke gimnasium bagi membuang tenaga berlebihan dan membakar kolestrol yang sukar dikawal," ujarnya kepada mStar Online.

Naz diminta mengulas tentang tahap kesihatannya apabila mengacarakan program JJCM di TV3 selama tiga tahun.

Tambah Naz, dia juga melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi mengetahui tahap kesihatannya dari semasa ke semasa.

Katanya, perkara tersebut sangat penting untuk mengesan sebarang penyakit dari peringkat awal.

"Saya lakukan pemeriksaan kesihatan setahun sekali untuk seluruh badan bagi mengetahui apa yang perlu dikawal.

"Kalau kita tahu ada kekurangan dalam tubuh badan kita, ia boleh diubati dari awal," ujarnya.

Sementara itu, Naz yang bakal mengendalikan program Jalan-Jalan Cari Makan musim depan juga memberitahu konsep program tersebut akan bertukar kepada gaya pemakanan yang lebih sihat.

"Sebenarnya ketika saya mengambil alih program makanan ini ada perubahan sedikit daripada zaman Maria Tunku Sabri. Masa dia mengendalikan terlalu banyak makanan dalam satu masa sampai 10 makanan atas meja.

"Saya hanya ambil dua makanan terbaik di setiap restoran sahaja. Pada musim depan kita juga ada konsep baru iaitu mengikut gaya hidup sihat," ujarnya.

Program Jalan-Jalan Cari Makan bersiaran pada setiap Ahad pukul 12 tengah hari di TV3.

Tags / Kata Kunci: Naz Jalan-Jalan Cari Makan TV3

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan