Jaclyn Victor Lebih Terbuka Kongsi Foto Anak Di Media Sosial

Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2015 5:30 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor mengambil pendekatan bersikap lebih terbuka dalam berkongsi foto-foto anaknya, Jonah Joshiah Rivera yang kini berusia tiga bulan di laman sosial.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 37, berkata, walaupun dia tahu anaknya mungkin terdedah dengan risiko keselamatan, tetapi dia berharap perkara seperti itu dapat dijauhkan.

"Bagi saya, mahu dedahkan anak di media sosial ini terpulang pada pendirian masing-masing.

"Macam saya, dulu pernah juga terfikir tidak mahu dedahkan di media sosial, tetapi sejak bergelar ibu, perasaan mahu berkongsi kepada umum lebih terbuka," katanya kepada mStar Online.

Jaclyn ditemui pada sidang media konsert 'Music Of The Night' An Evening of Favourite Musical and Film Themes with National Symphony Orchestra di Istana Budaya (IB), di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Jaclyn turut menyifatkan menjadi seorang ibu mengubah dirinya  menjadi lebih tenang dalam menjalani aktiviti hariannya.

"Sukar untuk beritahu perasaan nikmatnya menjadi ibu ini, asyik rasa bahagia.

"Tetapi diakui, sikap saya juga mula berubah. Pengurus saya, Zulaikha kata, sekarang ini saya lebih tenang," tuturnya.

Sementara itu, mengenai Music Of The Night, konsert tersebut menampilkan Jaclyn dan Stephen sebagai vokalis persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Pada malam tersebut nanti, susunan lagu tema filem dan teater muzikal popular tempatan serta antarabangsa berbentuk symphonic Orchestra akan dipersembahkan.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah lagu tema daripada filem Star Wars, Harry Porter, Pirates Of The Caribbea dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

"Persembahan yang bakal saya tampilkan nanti adalah konsep yang sangat berbeza di mana saya akan menyanyi dengan cara klasikal.

"Cabarannya, saya perlu fokus teknik nyanyian dengan betul agar ia bersesuaian dengan muzik yang dipersembahkan. Harap-harap saya mampu melakukannya," ujarnya.

Konsert Music of The Night yang bakal berlangsung pada 19 Disember ini merupakan persembahan pertama dipersembahkan oleh OSK di pentas IB.

Tiket berharga RM50, RM100, RM150 dan RM250 boleg dibeli menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com  atau hubungi 03-40265558 untuk maklumat lanjut.
Tags / Kata Kunci: Jaclyn Victor , Jonah Joshiah Rivera

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan