Akim & Stacy Nikah Februari Di Sabah

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2015 6:00 AM

Akim dan Stacy bertunang pada 26 September lalu.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penyanyi Akim Ahmad mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dengan tunangannya penyanyi Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25, pada Februari depan di kediaman wanita itu di Sabah. 

Akim, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, berkata, mereka mempercepatkan tarikh perkahwinan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dalam tempoh pertunangan. 

"Kami percepat tarikh nikah iaitu pada Februari depan kerana saya tidak mahu bertunang lama-lama kerana kalau ikutkan perkenalan kami bukan baru, kami sudah enam tahun berkawan. 

"Bagaimanapun, tarikh nikah saya akan umum bila kad jemputan siap untuk diedar tidak lama lagi," ujarnya kepada mStar Online

Akim berkata demikian ketika ditemui selepas persembahan Semi Final Muzik Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, di sini, pada malam Ahad. 

Akim berkata, majlis pernikahan akan diadakan di kediaman wanita itu di Penampang, Sabah, manakala majlis resepsi akan berlangsung di rumah keluarganya di Johor Baru. 

Selain itu, kata Akim segala persiapan dan urusan perkahwinan sudah diserahkan kepada pihak keluarga.  

"Persiapan kami sudah buat sedikit-sedikit, cuma yang besar akan diuruskan oleh keluarga, setakat ini segalanya berjalan lancar," ujarnya.

Tambah Akim, dia tidak sabar untuk bergelar suami dan mempunyai sebuah keluarga yang sempurna. 

Sementara itu, Stacy berkata, dia bersetuju untuk berkahwin dalam masa terdekat ini bagi mengelakkan sebarang fitnah ketika tempoh pertunangan. 

"Saya setuju kerana kami sudah lama berkawan dan yang penting keluarga sudah setuju. Lagi pula saya rasa tidak manis bertunang lama-lama kerana kami sering keluar bersama, walaupun atas urusan kerja ia boleh menimbulkan fitnah," ujarnya. 

Akim dan Stacy pada 26 September lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak. 

Stacy memeluk Islam di pejabat Agama Islam, Johor Baru, Johor pada 24 Ogos lalu.
Tags / Kata Kunci: Akim Ahmad , Stacy

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan