Mawi & Filsuf Ambil Masa 6 Bulan Rakam 'Sahabat Dalam Tubuh'

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 5:00 AM

Mawi dan Filsuf pada pelancaran single lagu Sahabat Dalam Tubuh. Foto Yap Chee Hong

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Mawi memberitahu mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan lagu duet terbaharunya bersama penyanyi rap, Filsuf yang berjudul Sahabat Dalam Tubuh.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 32, berkata, tempoh itu agak panjang bagi penghasilan sesebuah lagu kerana melodi lagu berkenaan menggabungkan irama arab, Melayu asli dan pop.

"Lagu ini memang lain dari yang lain kerana kami ingin tampilkan kelainan dan sebab itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dan kami berpuas hati dengan hasilnya.

"Bagaimanapun proses memasukkan vokal oleh Filsuf dan saya hanya dilakukan dalam masa sejam sahaja," katanya.

Mawi dan Filsuf ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu mereka berjudul Sahabat Dalam Tubuh di pejabat Warner Music di sini, Khamis.

Mawi dan Filsuf selesa bergandingan bersama.

Dalam pada itu, Mawi berkata, dia akan terus merakamkan lagu-lagu berunsurkan kerohanian kerana ia kena dengan jiwanya sebagai penyanyi.

"Sudah 10 tahun saya dalam industri ini dan sepanjang tempoh itu juga sudah banyak genre lagu yang saya cuba tetapi langsung tidak memberi kepuasan.

"Alhamdulillah akhirnya satu temui apa yang memberi kepuasan kepada saya selain ia diterima baik oleh peminat," ujarnya.

Malah kata Mawi, dia kini lebih selesa menggubah melodi dan lirik lagunya sendiri tanpa menggunakan khidmat komposer lain.

"Dengan cara ini juga saya lebih fokus dengan apa yang saya hendak sebagai penyanyi dan Filsuf juga banyak mengajar saya tentang susunan lagu di studio," jelasnya.

Sementara itu, Filsuf berkata, mereka merancang untuk merakamkan sebuah album duet bersama selepas dua single mereka mendapat sambutan hangat peminat.

Katanya lagi, keserasian yang wujud di antara mereka berdua juga menerbitkan idea tersebut selain senang bekerjasama dengan bekas juara program Akademi Fantasia 3 itu.

"Insya-Allah kami ada merancang untuk merakamkan sebuah album duet dengan genre kerohanian seperti mana dua single kami sebelum ini.

"Kami senang bekerjasama kerana keserasian yang wujud terutamanya ketika proses menggubah lagu dan menulis lirik," katanya.

Bagaimanapun kata Filsuf perancangan itu bukan dalam masa terdekat ini memandangkan mereka berdua bakal muncul dengan single solo pada awal tahun hadapan.

"Selepas selesai pelancaran single solo kami Insya-Allah selepas itu baharulah kami akan merancang tentang album duet," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Filsuf turut berkongsi pengalaman mereka merakamkan muzik video lagu berkenaan di Jordan dan Palestin.

Kata Filsuf, sepanjang berada di Palestin kerja-kerja penggambaran berlangsung dengan lancar selain sempat melawat ditempat-tempat menarik di negara tersebut.

"Alhamdulillah tiada sebarang kesukaran cuma ditahan selama tiga jam oleh pihak imigresen di Palestin namun ia adalah proses biasa," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mawi , Filsuf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan