A. Aida Dapat Nasihat Ustaz Buka Pejabat Produksi

Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 5:30 AM

A. Aida di hadapan pejabatnya. FOTO: Kamarul Ariifin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerisauan penerbit drama A. Aida untuk mempunyai pejabat sendiri terubat selepas dia mendapat nasihat daripada seorang ustaz agar tidak bimbang meneruskan hasrat itu.

A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 43, berkata, pada mulanya dia bimbang tidak mampu membayar gaji pekejra namun dia bersyukur banyak tawaran pembikinan drama diterimanya membuatkan hasrat berkenan mampu dilaksanakan.

"Sebagai seorang ketua saya sentiasa bimbang tidak dapat membayar gaji pekerja apatah lagi untuk mengembangkan syarikat saya.

"Bagaimanapun ketika meminta pandangan seorang ustaz dia memberitahu saya supaya membuka minda dan jangan takut kerana rezeki itu akan diberi oleh Allah menerusi para pekerja saya,” katanya kepada mStar Online.

Aida ditemui pada majlis pelancaran pejabat baharu A. Aida Production di Wisma Rampai, Setapak di sini, Jumaat.

Selain 16 pekerja tetap, Aida turut mempunyai 50 petugas sambilan yang merupakan  kru penggambaran.

A. Aida (dua dari kiri) bersama rakan-rakan artis yang hadir ke pembukaan pejabat barunya.
Pejabatnya yang turut dilengkapi bilik mesyuarat, bilik suntingan dan bilik perkakasan penggambaran itu mula beroperasi sejak dua bulan lalu.

Dalam pada itu, Aida berkata, sikap tidak kenal putus asa dan sentiasa tawakal kepada Allah dalam melakukan sesuatu adalah resipi kepada kejayaannya hari ini.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, telefilemnya berjudul Cik Siti Tanah Masyhur bakal menemui penonton di TV3 bulan hadapan.

Jelas Aida, projek berkenaan cukup istimewa kerana ia dihasilkan  sebagai satu sumbangannya kepada industri tempatan.

"Telefilem berkenaan bakal menghimpunkan banyak nama besar dan ia dihasilkan menggunakan kamera berteknologi tinggi demi memastikan hasil yang terbaik.

"Jujurnya tiada keuntungan menghasilkan Cik Siti Tanah Masyhur tetapi ia adalah produk untuk dicalonkan dalam anugerah selain satu sumbangan kepada industri tempatan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aida mengimpikan untuk memiliki sebuah saluran televisyen sendiri suatu hari nanti.

Kata Aida, sebagai persediaan dia sedang mempersiapkan diri dengan penyelidikan dan kertas kerja bagi merealisasikan impian itu.

"Azam dan impian saya adalah untuk memiliki saluran televisyen sendiri yang memfokuskan kepada penerbitan drama, dokumentari dan program berbentuk majalah.

"Insya-Allah dengan berkat usaha dan kesabaran saya pasti dapat merealisasikan impian tersebut," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: A. Aida

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan