Ganding Nabil & Jihan Dalam Program Kanak-Kanak Tidak Jejas Rating

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2015 12:17 PM

Nabil dan Jihan yang kini mengacarakan Gegar Vaganza 2 bakal muncul dalam program kanak-kanak.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kekerapan Nabil Ahmad dan Jihan Muse ditampilkan sebagai pengacara rancangan realiti terbitan stesen televisyen Astro tidak akan menjejaskan rating program terbaharu iaitu Ceria All Stars yang turut melibatkan kedua-dua pelawak itu.

Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin berkata, Nabil dan Jihan merupakan pilihan terbaik bagi mengendalikan program kanak-kanak itu.

"Walaupun wajah Nabil dan Jihan Muse masih lagi mengacarakan program Gegar Vaganza 2, namun kami yakin penonton tidak bosan dan tidak menjejaskan program Ceria All Stars.

"Tugas mereka berbeza, ini kali pertama Jihan mengendalikan rancangan kanak-kanak, manakala Nabil pula kali pertama sebagai juri tetap," ujarnya kepada mStar Online.

Beliau ditemui pada pelancaran program terbaharu Ceria All Stars  yang diadakan di Talent Lounge, di sini, Rabu.

Barisan 20 peserta program Ceria All Stars.


Hadzelynda diminta mengulas penglibatan Nabil Ahmad dan Jihan Musa di beberapa program terbitan Astro yang mungkin akan membuatkan penonton bosan dan secara tidak langsung menjejaskan rancangan terbaharu yang bakal bersiaran itu.

Selain Nabil, Nora Danish turut bertanggungjawab sebagai juri tetap, manakala Mia Sara sebagai pengacara dan Datuk Aznil Nawawi dilantik sebagai penaung program tersebut.

Tambah Hadzelynda, pemilihan Nabil dan Nora berikutan kedua-dua selebriti itu mempunyai kriteria sebagai ibu bapa.

"Nabil dan Nora ada pengalaman sebagai ibu bapa dan mempunyai anak kecil, jadi mereka lebih faham apa yang kanak-kanak mahukan," ujarnya.

Sementara itu, seramai 20 peserta layak bersaing di pentas Ceria All Stars dengan mempersembahkan pelbagai bakat seperti nyanyian, tarian, seni mempertahankan diri, dan bermain alat muzik.

"Melalui Ceria All Stars, kami memberi peluang kepada kanak-kanak mempersembahkan kelebihan masing-masing tidak kira apa sahaja bakat yang mereka ada," ujarnya.

Ceria All Stars akan bersiaran selama tujuh episod beserta satu episod pengenalan.

Peserta akan dibahagikan kepada empat kumpulan di setiap kumpulan akan bertanding dalam setiap satu episod.

Pemenang setiap episod ditentukan sepenuhnya juri tetap dan akan mara ke pusingan separuh akhir pada 1& Januari 2016.

JuaraCeria All Stars bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM15,000 beserta trofi.

Tempat ketiga bakal meraih hadiah sebanyak RM10,000 dan juga trofi manakala pemenang keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi.

Ceria All Stars akan bersiaran bermula 27 November ini, pada setiap Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ceria (Saluran 611 & 135).

Tags / Kata Kunci: Ceria All Stars , Nabil Ahmad , Jihan Muse

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan