Khadijah Ibrahim Rancang Buka Restoran Di London Tahun Depan

Diterbitkan: Selasa, 10 November 2015 4:30 AM

Khadijah di hadapan restoran miliknya Khadijah's Kitchen.

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Penyanyi veteran Datuk Khadijah Ibrahim merancang meluaskan cabang perniagaan restorannya, Khadijah's Kitchen dengan membuka sebuah lagi cawangan di London pada April tahun depan.

Khadijah atau lebih selesa dipanggil Khaty berkata perancangan itu dibuat selepas pihaknya menerima respons positif daripada pelanggan mengenai masakan Melayu yang disediakan.

"Kita telah mengenal pasti lokasi untuk restoran berkenaan di London dan sekarang ini proses perbincangan giat dijalankan. Jika semuanya berjalan lancar ia akan dapat dibuka pada April tahun depan," katanya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu mempersembahkan nyanyian istimewa dan 'melelongkan' lagu-lagu popularnya sebagai sumbangan sosial kepada kutipan dana sekolah berkenaan.

Beliau berkata, restoran di London itu akan mengekalkan konsep makanan autentik Malaysia seperti pisang goreng, lempeng, roti jala, laksa Johor, nasi lemak dan rendang tok.

"Dengan menu yang sama disediakan seperti empat restoran saya di Malaysia, ia dapat memudahkan orang ramai untuk datang kerana mereka sudah mengetahui di mana mendapatkan makanan autentik Malaysia ini," katanya.

Khadijah berkata beliau juga merancang membuka dua lagi cawangan restorannya di Alor Setar, Kedah dan Johor Bharu, Johor awal tahun depan.

Beliau berkata restorannya juga turut mengekalkan menu yang sama serta memastikan kualiti makanan yang disediakan akan terjaga selain mengambil kira kehendak pelanggan di kawasan tersebut.

"Ketika ini empat restoran saya di Kuala Lumpur, Shah Alam, Port Dickson dan Melaka mendapat sambutan baik dari pelanggan. Selain itu, di restoran berkenaan turut diselitkan beberapa persembahan nyanyian artis yang baru berkecimpung dalam bidang ini untuk menunjukkan bakat mereka," katanya.

Beliau berkata restorannya turut mengeluarkan enam jenis pes masakan popular Melayu antaranya rendang tok, pajeri nenas dan kari kepala ikan dan merancang mengeluarkan enam lagi pes iaitu laksa johor, laksa kari serta sate dalam masa terdekat ini.

Katanya semua produk berkenaan boleh diperoleh di pasar raya serta lapangan terbang di seluruh negara dan ia turut dieksport ke Singapura serta Hong Kong berikutan permintaan yang tinggi di sana.

Dalam perkembangan lain, Khadijah berkata beliau telah menghasilkan sebuah album baharu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkannya secara terperinci kerana ia belum dilancarkan.

"Album baharu telah siap sepenuhnya, cuma sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk ia dilancarkan atau dijual kerana beberapa faktor," katanya.
-- BERNAMA
Tags / Kata Kunci: Khadijah Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan