Produksi Indonesia Hubungi Keith Foo Setiap Hari Beri Tawaran

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 5:30 AM

Keith Foo kini turut bergelar pengacara. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Keith Foo mendapat tawaran daripada syarikat produksi Indonesia setiap hari sejak tahun lalu yang mahu memberikannya peluang meneruskan lakonan di negara itu.

Keith, 32, bagaimanapun berkata, dia terpaksa menolak semua tawaran tersebut memandangkan jadualnya padat sehingga akhir tahun hadapan.

"Saya sendiri kadang-kadang rasa serba salah kerana terpaksa menolak setiap kali ada pihak dari Indonesia telefon menawarkan saya berlakon filem dan telefilem.

"Tetapi saya memang tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan jadual saya padat sampai tahun hadapan," katanya kepada mStar Online.

Keith ditemui pada tayangan perdana filem televisyen bertajuk Jelmaan di Kafe Skrin di sini, Selasa.

Selain Keith, Jelmaan turut dibintangi oleh Raja Ilya, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.

Diarahkan oleh pengarah Indonesia, Sridhar Jetty ia bakal disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) dan penonton boleh melanggan filem berkenaan bermula 31 Oktober ini.

Filem televisyen Jelmaan bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif pada 31 Oktober ini.

Keith Foo sebelum ini mencipta nama sebagai pelakon di negara seberang sebelum membuat keputusan pulang ke tanah air untuk berlakon dengan produksi negara ini.

Dalam pada itu, Keith berkata, dia tidak berasa ralat menolak tawaran tersebut kerana lebih mengutamakan karier di Malaysia berbanding Indonesia.

"Saya sudah berlakon selama 10 tahun di sana dan ingin menggunakan pengalaman sebelum ini untuk mengembangkan karier saya di Malaysia.

"Jadi rasa ralat itu tidak ada sangat dan jika ada rezeki pasti saya akan kembali berlakon di sana," jelasnya.

Sementara itu, Keith berkata, dia kini berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan bakal muncul dalam sebuah program travelog berjudul Spain Bersama Keith Foo.

Dia berada di Sepanyol selama sebulan untuk menjalani penggambaran dan mengakui menimba pelbagai pengalaman sepanjang berada di sana.

"Program itu lebih kepada perjalanan saya secara 'bagpack' ke seluruh Spain dan menjelajah ke tempat-tempat yang bukan menjadi tumpuan pelancong.

"Ini pengalaman pertama saya sebagai hos dan ia cukup menyeronokkan," ujarnya.

Bercakap mengenai Jelmaan, Keith berkata, walaupun peranannya tidak besar namun ia tidak menjadi masalah kepadanya.

Dia bersetuju kerana watak sebagai Harun berbeza terutama dalam cara menzahirkan rasa cinta terhadap isteri dan anak-anak.

"Saya seronok bekerja dalam projek ini kerana jalan ceritanya yang berbeza dan memerlukan saya menzahirkan rasa cinta dalam cara berbeza.

"Gandingan bersama Raja Ilya juga cukup seronok memandangkan ini projek besar pertama kami berdua," katanya.

Tags / Kata Kunci: Keith Foo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan