"Saya Bukan Diva" - Amy Mastura

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 12:37 PM

Amy Mastura tidak bersikap memilih terhadap tawaran diberikan kepadanya. Foto THE STAR/HAZIQ AZIMI.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Amy Mastura tidak pernah meletakkan dirinya setaraf diva dan tidak malu untuk menerima tawaran lakonan diberikan kepadanya walaupun jumlah adegan yang sedikit.

Amy, 44, berkata, dia tidak pernah mengamalkan sikap memilih watak diberikan kepadanya namun ia perlu dengan karakter dan imejnya yang kini berhijab.

"Jika ditawarkan lima babak pun saya terima janji ia sesuai dengan saya dan tidak pernah pula hendak bersikap memilih.

"Pada saya kita kena hargai peluang yang diberikan dan tidak perlu bersikap sombong atau diva biarpun sudah bertaraf senior," katanya kepada mStar Online.

Amy ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Memori Cinta #3 di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Drama arahan Boy Cavalera itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Dayana Roza, Shima Anuar dan Riz Amin.

Amy tidak berhasrat untuk bersara daripada bidang seni.

Ia bakal menemui penonton bermula 11 November depan, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116.

Dalam pada itu, Amy berkata, biarpun dia sudah lama berada dalam industri itu tidak bermakna dia boleh mendabik dada dan mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari sejajar dengan perubahan zaman.

"Saya bukan diva dan tidak pernah meletakkan sebarang jurang dikalangan artis lain terutamanya yang masih baharu kerana saya sendiri masih banyak belajar.

"Jika saya kenal seseorang artis baharu itu tidak semestinya dia yang perlu tegur saya hanya kerana saya senior tetapi sebaliknya," ujarnya.

Sementara itu, Amy berkata, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu.

Jelas Amy, selagi ada tawaran diberikan kepadanya dia akan terus berada di dalam industri namun menegaskan keluarga adalah keutamaannya.

Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Jom Menari Ler yang turut dijadikan lagu tema drama bersiri Memori Cinta #3.

Tags / Kata Kunci: Amy Mastura , Memori Cinta #3

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan