Pihak Kritik Klip Video Hazama Tidak Faham Maksud

Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 6:00 AM

Hazama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Hazama menyangkal dakwaan kononnya klip video lagu Sampai Mati nyanyiannya menggambarkan kejadian di hari akhirat.

Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 31, berkata ada segelintir pihak telah menyalah tafsirkan hal itu sebaliknya lagu berkenaan menceritakan tentang percintaan yang bertemakan konsep metafora sesebuah cinta.

"Lirik lagu dan klip video ini sudah jelas menunjukkan mengenai seseorang yang sanggup buat apa sahaja demi cinta. Jadi pengarahnya, Sanjay menghasilkan klip video berasaskan ungkapan "demi cinta, saya sanggup renangi lautan api" atau orang kata ianya metafora cinta.

"Jadi saya anggap orang yang mengkritik klip video ini tidak faham maksud yang cuba disampaikan, atau mereka mungkin tidak pernah bercinta, kerana itu mereka tidak faham," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.



Dalam video muzik Sampai Mati  itu, ia menunjukkan Hazama sedang melalui cabaran luar biasa seperti berjalan di atas tali merentasi gaung, terjun dari kawasan berpuncak tinggi ke dalam lautan dan merentas laluan yang penuh dengan letupan api demi cintanya buat kekasih.

Ia telah dimuat naik pada 18 Ogos lalu di YouTube dan sudah mendapat lebih  299,000 tontonan.

Bagaimanapun klip video tersebut dikritik seolah-olah menggambarkan seorang lelaki yang mencari cinta di hari akhirat dan wanita yang ditampilkan dalam klip berkenaan tidak bertudung.

Sementara itu beritahu Hazama, isu bertudung tidak sepatutnya dibangkitkan memandangkan ia hanya sekadar klip video biasa.

Tidak mengendahkan kritikan tersebut, Hazama mengambil isu yang dibangkitkan sebagai perkara positif di mana klip video berkenaan mendapat perhatian ramai.

"Saya ambil perkara ini positif. Dalam pada itu saya pun berpuas hati melihat hasil klip video ini memandangkan ia dihasilkan 100 peratus teknik pengimejan berkomputer (CGI).

"Dan penggambaran lagu ini adalah satu pengalaman yang lain kerana lokasinya hanya di studio. Saya berpuas hati dengan klip video ini," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Hazama , Sampai Mati

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan