Kerjasama Seniman & CCIG Tingkat Profesionalisme Artis

Diterbitkan: Rabu, 30 September 2015 5:30 AM

Dari kiri: Datuk Ahmad Tamimi Serigar, Jurey Latiff, Zed Zaidi dan Zack (Kool) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Seniman dan CCIG pada Selasa. FOTO: FAIHAN GHANI.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) optimis dalam usahanya untuk memberi pengiktirafan kepada pengamal industri seni kreatif menerusi proses pentauliahan berdasarkan kriteria ditetapkan.

Pengerusi CCIG, Jurey Latiff Rosli berkata, proses itu bukan sahaja dapat meningkatkan profesionalisme pekerja industri malah dapat memberi tambah nilai kepada karier mereka ke tahap lebih tinggi.

"CCIG adalah badan akreditasi tunggal untuk pengamal dalam bidang kreatif dalam menilai tahap profesional mereka mengikut bidang masing-masing.

"Setakat ini tiada badan lain yang mengeluarkan sebarang sijil tauliah melainkan CCIG dan menjadi hasrat kami untuk memastikan lebih banyak ahli ditauliahkan mengikut kriteria ditetapkan.

"Ahli yang berdaftar, kita akan kumpul data berhubung pengalaman, pencapaian, kemahiran dan sumbangan kepada industri sebelum layak melalui proses pertauliahan," katanya kepada mStar Online.

Wakil Seniman dan CCIG mengadakan kerjasama dalam usaha meningkatkan kehebatan penggiat seni.

Jurey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media majlis menandatangani memorundum persefahaman di antara CCIG dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Kafe Skrin di sini, Selasa.

Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Yusof Haslam.

Dalam pada itu, Jurey berkata, kerjasama dengan Seniman mampu meningkatkan profesionalisme di kalangan ahli pesatuan itu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan.

Malah katanya, profil ahli yang berdaftar dengan CCIG akan dipaparkan di laman sesawang gabungan itu dalam usaha menarik minat pelabur serta produksi tempatan dan antarabangsa.

"Pelakon di Malaysia sebagai contoh banyak yang bagus, berpengalaman luas tetapi sayang ia tidak digunakan untuk tujuan lain atau dikongsi kepada orang lain.

"Namun dengan menjadi ahli dan proses pertauliahan ini mereka boleh menggunakan sijil dan kad dikeluarkan CCIG untuk menjadi penceramah, pensyarah bebas atau bekerja dengan produksi antarabangsa kerana mereka telah diiktiraf," ujarnya.

Tambah Jurey, daripada 6,244 ahli yang berdaftar dengan CCIG, 346 daripadanya telah ditauliahkan mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Zed Zaidi

Sementara itu, Zed Zaidi pula berkata, kerjasama dengan CCIG adalah kaedah dalam menjaga kebajikan mereka dan ia peluang tebaik untuk mendapat pengiktirafan supaya kerjaya sebagai pelakon dapat dipandang tinggi selepas ini.

"Seniman menjaga kebajikan dan CCIG memberi pengiktiran. Ini adalah peluang untuk artis-artis kita bukan sahaja berpengalaman tetapi ia diiktiraf selain dapat menggunakan semua kemahiran mereka dengan lebih meluas.

"CCIG juga mempunyai pelbagai perancangan konkrit untuk kesemua ahli mereka dan kerjasama ini jelas dapat membuka lebih banyak ruang untuk membawa industri kreatif di negara ini ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Bagaimanapun kata Zed, pihaknya perlu lebih giat untuk mengadakan program kesedaran tentang CCIG bagi menjelaskan kebaikkan menjadi ahli dan mendapatkan tauliah daripad gabungan itu.

"Ramai masih tidak faham apa itu CCIG dan kepentingan mendapatkan sijil dan kad tauliah tersebut.

"Namun kami yakin kerjasama ini adalah permulaan baik dalam memastikan semua pemain dalam industri dinilai dan diberikan pengiktirafan yang sepatutnya," katanya.
Tags / Kata Kunci: Seniman , CCIG , Jurey , Zed Zaidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan