Jadi Penyanyi Solo, Eyza Bahra Tinggalkan Salam Music

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 5:45 AM

Eyza Bahra

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Vokalis Salam Music, Eyza Bahra memberitahu dia mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan tersebut bagi mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Eyza, 27 berkata, keputusan itu diambil sebagai salah satu cabaran untuk tidak berada dalam zon selesa bersama kumpulan muzik tersebut.

"Saya sudah keluar daripada Salam Music minggu lepas dan Alhamdulillah ahli kumpulan lain semua terima keputusan ini dengan positif, malah memberi semangat untuk saya bergerak sendiri.

"Saya ambil keputusan itu untuk masa depan kerjaya saya. Saya mahukan cabaran dan rebut peluang yang datang pada usia ini,"  ujarnya kepada mStar Online.

Eyza berkata, dia kini bernaung di bawah syarikat rakaman milik DJ Fuzz iaitu Mixology Music.

Dia juga mengambil keputusan tersebut kerana tidak mahu menyekat perkembangan kumpulan itu dengan kekangan jadual kerjanya sebagai penyanyi solo.

"Ketika saya bersama kumpulan itu, saya juga ada projek secara solo dan saya tidak mahu jadual kerja secara solo saya menganggu jadual Salam Music," ujarnya.

Dalam pada itu, Eyza berkata, dia berasa sedih untuk meninggalkan kumpulan yang membawanya melangkah ke dunia seni yang memberi banyak pengalaman berharga.

Bagaimanapun dia terpaksa belajar untuk melepaskan sesuatu perkara demi kebaikan masa depan.

"Saya sayang kumpulan itu kerana selama enam tahun bersama banyak benda yang saya belajar. Tapi saya juga perlu belajar untuk lepaskan sesuatu perkara yang saya sayang.

"Ketika DJ Fuzz tawarkan untuk bergerak solo, saya rasa ini adalah masa terbaik sebelum usia saya sudah tua," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Eyza yang popular dengan lagu Imaginasiku baharu sahaja keluar dengan single solo ketiganya berjudul Cakerawala.

Tags / Kata Kunci: Eyza Bahra , Salam Music

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan