Filem Malaysia Bakal Dipertandingkan Dalam Anugerah Akademi

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2015 5:00 AM

Para pelakon dan mereka yang terlibat dalam filem lelaki Harapan Dunia yang diangkat sebagai Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) pada 5 September lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal menghantar beberapa karya tempatan untuk dinilai oleh Jawatankuasa Anugerah Akademi ke-88 untuk dipertandingkan dalam kategori Best Foreign Film yang bakal berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman berkata, Malaysia berjaya tersenarai sebagai salah sebuah daripada 154 negara yang layak menghantar filem untuk dipertandingkan menerusi kategori berkenaan selepas mendapat pengesahan daripada Academy of Motion Pictures Art and Sciences (AMPAS) dua minggu lalu.

Sehubungan itu kata Kamil, Finas telah membentuk Jawatankuasa Oskar Malaysia bagi memilih karya-karya berkualiti untuk dihantar kepada pihak Akademi sebelum 1 Oktober depan.

"Finas akhirnya berpeluang untuk menghantar karya-karya tempatan untuk dinilai oleh pihak Akademi bagi bertanding dalam kategori Best Foreign Film.

"Pihak kami juga telah menubuhkan jawatankuasa dan akan bermesyuarat pada Jumaat (hari ini) bagi memilih karya untuk dihantar ke sana," katanya kepada mStar Online.

Datuk Kamil Othman

Kamil ditemui pada majlis ramah mesra bersama media yang diadakan di Hotel Aloft di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Finas, Khalidah Mat Darus.

Sebelum ini filem Puteri Gunung Ledang pernah dihantar untuk dipertandingkan iaitu pada tahun 2004 manakala Bunohan pada 2012 namun kedua-dua karya itu tidak memenangi apa-apa anugerah.

Dalam pada itu, Kamil berkata, pihaknya akan memberi keutamaan kepada salah satu karya daripada finalis kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) yang berlangsung pada 5 September lalu.

Bagaimanapun kata Kamil, keputusan itu bukan muktamad dan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Oskar Malaysia diadakan.

"Buat masa ini kami melihat potensi filem-filem daripada pencalonan FFM 27 sebagai pilihan untuk dihantar ke jawatankuasa Akademi untuk penilaian.

"Bagaimanapun ia masih belum muktamad dan ia mungkin boleh berubah," ujarnya.

Sementara itu, Kamil berkata, beliau berharap dengan khabar terbaharu itu dapat menaikkan lagi semangat pembikin filem tempatan dalam menghasilkan karya bertaraf antarabangsa dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran tempatan.

"Pada tahap ini kita tidak mengharapkan pencalonan atau kemenangan tetapi sekurang-kurangnya Finas telah melakukan sesuatu untuk pembangunan industri filem tempatan.

"Diharap dengan pengesahan nama Malaysia di Anugerah Akademi dapat menaikkan lagi semangat pembikin filem menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan layak dipertandingkan di Oskar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamil berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama beberapa persatuan seni negara.

Ia adalah untuk membincangkan isu ketidakpuasan Persatuan Sudtradara Malaysia (FDAM) terhadap penganjuran FFM 27 apabila lapan pengarah dalam kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik bukan ahli persatuan itu selain beberapa isu berbangkit.

Jelas Kamil, pihaknya akan bertemu dengan pihak-pihak berkenaan pada 18 September ini di Finas.
Tags / Kata Kunci: Finas , Kamil Othman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan