Peminat Azrel Ismail Naik Mendadak Penangan 'Syurga Nur'

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 6:00 AM

Azrel selesa dikenali dengan watak Dr Harris.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon baharu Azrel Ismail mengakui pengikut di laman sosial Instagramnya meningkat secara mendadak selepas popularitinya dalam drama
Syurga Nur yang disiarkan di slot Akasia, TV3.

Azrel, 30, berkata, pada awalnya dia hanya mempunyai beberapa ribu pengikut selepas setahun bergelar pelakon namun jumlah itu melonjak sehingga mencecah lebih 50 ribu sejak sebulan drama itu bersiaran.

"Saya terkejut setiap hari selepas siaran drama tersebut pasti ribuan pengikut baru yang follow instagram saya. Drama dan slot Akasia itu memang benar-benar beri kesan kepada pelakon.

"Sebelum ini beberapa ribu sahaja dan peningkatan ini bermakna orang ramai sudah mula menerima dan menyedari kehadiran saya dalam industri," ujarnya kepada mStar Online.

Azrel Ismail

Selain itu, Azrel berkata, peningkatan jumlah peminat juga membuatkan dia sudah mempunyai kelab peminat sendiri yang diberi nama Team Azrel Ismail.

Dia juga dalam perancangan untuk menjalankan beberapa aktiviti bersama peminat yang menyokong kerjayanya dalam bidang lakonan.

"Sekarang saya sedang rancang beberapa aktiviti untuk bertemu dan mengenali peminat-peminat saya. Alhamdulillah ada pihak yang bersedia membantu menguruskan perkara itu," ujarnya.

Azrel membawa watak Dr Harris drama Syurga Nur yang berakhir pada awal Ogos lalu bergandingan dengan pelakon Amar Asyraf dan Janna Nick.

Dalam pada itu, katanya, peminat juga mula mengenali dia dan memanggilnya dengan nama watak tersebut iaitu Dr Harris berbanding namanya sendiri.

Bagaimanapun, dia menganggap ia sebagai suatu perkembangan positif berbanding dikaitkan sebagai klon Remy Ishak sebelum ini.

"Kalau berada di luar peminat akan tegur saya dengan nama Dr Harris, malah mereka pun tidak tahu nama sebenar saya, namun saya tidak kisah.

"Ia sesuatu perkembangan yang baik, sekurang-kurangnya orang tidak lagi menyamakan saya dengan Remy Ishak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azrel juga bakal keluar dengan drama terbaharu iaitu Si Montel pada setiap Jumaat bermula 11 September ini, di saluran 116 HyppTV.

Ia akan disiarkan pukul 9 malam.
Tags / Kata Kunci: Azrel Ismail

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan