Wanita Berbadan Besar Perlu Tonton Drama 'Si Montel'

Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2015 12:33 AM

A.Aida (berdiri, lima dari kiri) bersama barisan pelakon dan mereka yang terlibat dalam drama Si Montel.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Drama bersiri 13 episod berjudul Si Montel membawa mesej positif dan inspirasi kepada penonton terutamanya wanita berbadan besar.

Penerbitnya, A.Aida berkata, ia banyak  memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keistimewaan wanita berbadan besar yang seharusnya tidak perlu merendah diri.

"Terdapat banyak mesej positif yang ingin kami kongsikan dalam drama Si Montel ini terutamanya kepada masyarakat yang sering mensisihkan dan tidak memberi peluang kepada golongan berbadan besar untuk ke hadapan.

"Mereka sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri dan kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap keupayaan mereka," katanya kepada mStar Online.

Emily Wee (dari kiri) A.Aida serta bintang drama Si Montel ketika majlis perasmian.


A.Aida berkata demikian pada sidang media pelancaran drama Si Montel  diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut Naib Presiden, Perniagaan dan Operasi Media, New Media TM, Emily Wee.

Tambahnya, drama ini juga memberi peluang kepada pelakon berbadan besar iaitu Nor Syuhada atau Dottie untuk memeggang watak utama sebagai Tipah Montel.

"Kita juga memberi peluang dan cuba mengetengahkan pelakon berbadan besar yang berbakat untuk memegang watak utama yang mana jarang sekali diterima golongan ini," ujarnya.

Selain itu, A.Aida berkata, menerusi drama ini, dia juga cuba mengetengahkan pelakon-pelakon baharu iaitu Azrel Ismail, Ezzaty Abdullah, Adibah Yunus, Janna Nick dan Syawal.

Azrel Ismail dan Dottie, pelakon utama Si Montel.

Drama ini mengisahkan tentang seorang jejaka Ariz lakonan Azrel Ismail yang menjadi kegilaan wanita di sebuah kampung. Namun jejaka itu telah jatuh hati kepada seorang wanita berbadan besar iaitu Tipah Montel.

Sikap positif Tipah Montel seperti menghormati orang tua, penyayang dan bertanggungjawab mampu menawan hati jejaka tersebut berbanding wanita-wanita cantik lain.

Drama bersiri 13 episod ini akan ditayangkan setiap Jumaat, bermula 11 September ini, pukul 9 malam menerusi saluran 116 HyppTV.
Tags / Kata Kunci: Si Montel , A.Aida

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan