Mamat Khalid Terharu Karya Diharamkan Layak Sertai FFM 27

Diterbitkan: Sabtu, 22 Ogos 2015 4:30 AM

Mamat Khalid

(Ubah saiz teks)


PETALING JAYA: Pengarah filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut iaitu Mamat Khalid benar-benar terharu apabila karya itu yang diharamkan penyiarannya lebih 20 tahun lalu dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27).

Mamat berkata, karya berkenaan pernah dihasilkan untuk siaran drama TV pada tahun 1996 tetapi ia diharamkan lalu dijual dalam bentuk cekera padat video (VCD).

"Saya pernah buat cerita ini untuk drama TV tetapi kena banned. Akhirnya saya terpaksa jual dalam bentuk VDC. Bagaimanapun saya tetap tak putus asa untuk jadikan ia sebuah filem komedi dan Alhamdulillah, karya ini diberi penilaian," katanya kepada mStar Online.

Menerusi FFM 27 filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut meraih lapan pencalonan dalam senarai top 5.

Ia melibatkan kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Mamat berkata, dia bersyukur kerana hasratnya mengetengahkan karya itu mendapat pengiktirafan walaupun selepas 20 tahun ia berlalu.

Tambahnya, filem itu sarat dengan cerita yang berbeza dengan filem-filem arus perdana lain.

"Filem ini berbeza berbanding filem-filem lain yang pernah saya hasilkan dan hanya boleh dinilai oleh penggiat-penggiat filem," katanya.

Ditanya apakah filem ini mempunyai peluang untuk meraih apa-apa anugerah pada malam kemuncak FFM 27 nanti Mamat berkata, semua filem yang bertanding mempunyai kekuatan masing-masing.

Justeru, dia meletakkan kepada pihak juri dalam menilai setiap karya yang dipertandingkan pada tahun ini.

Kemuncak FFM 27 akan berlangsung pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ia akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria pukul 8.30 malam.



Tags / Kata Kunci: Mamat Khalid , FFM 27

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan