Cristina Suzanne Tidak Tertekan Cari Pengganti Selepas Putus Tunang

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 5:05 AM

Cristina tidak tertekan untuk mencari pengganti selepas putus tunang dengan seorang ahli perniagaan hampir dua tahun lalu. Foto THE STAR/HAFIS IDZLA HAFIDZAN

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Cristina Suzanne tidak tertekan untuk mencari pengganti selepas putus tunang dengan seorang ahli perniagaan hampir dua tahun lalu.

Cristina atau nama sebenarnya, Cristina Suzanne Stockstill, 30, berkata, buat masa ini dia lebih selesa dengan kehidupan solo selain memberi fokus kepada karier lakonannya.

"Tipulah kalau saya kata tidak sunyi tetapi buat masa ini saya memang tidak mencari pengganti kerana lebih selesa dengan kehidupan solo.

"Saya juga bertuah kerana sejak dulu saya memang seorang yang berdikari jadi tiada teman lelaki untuk bergantung bukan suatu masalah," katanya kepada mStar Online.

Cristina ditemui pada majlis pengumuman pengacara dan penyampai Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

FFM 27 bakal diadakan pada 5 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Cristina sasar untuk berkahwin sebelum usia 36 tahun.

Terdahulu, Cristina pernah bertunang dengan seorang ahli perniagaan pada Oktober 2013 namun ikatan tersebut putus sebulan sebelum dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan iaitu pada 22 Januari tahun lalu.

Dalam pada itu, Cristina menjelaskan, sebagai seorang manusia biasa keinginan untuk berkahwin dan memiliki keluarga masih ada namun menyerahkan perkara itu kepada jodoh.

Kata Cristina, dia menyasarkan untuk menamatkan zaman solonya sebelum usianya menjengah 36 tahun.

"Saya sasar untuk berkahwin sebelum usia mencapai 36 tahun tetapi ia hanya perancangan dan Allah akan menentukannya," ujarnya.

Sementara itu, Cristina berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan pementasan teater berjudul Playing God terbitan Revelution Stage dan akan dipentaskan Oktober depan.

"Buat masa ini saya hanya fokus kepada latihan teater tersebut dan saya teruja dengan projek berkenaan namun tidak dapat mendedahkan butiran mengenainya buat masa ini dan Insya Allah akan ada sidang media diadakan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Cristina Suzanne

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan