FFM 27: Ayu Raudhah Tak Sangka Tercalon Lepas Berhenti Berlakon

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 5:00 AM

Ayu Raudhah tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah pada Festival Filem Malaysia ke 27.

(Ubah saiz teks)


KUALA LUMPUR: Pelakon Ayu Raudhah terkejut apabila dimaklumkan namanya tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 : Kasyah pada Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27).

Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan, 31, berkata, ia merupakan pencalonan pertama sejak enam tahun berada dalam industri hiburan tanah air.

"Sudah tentu terkejut apabila mereka beritahu saya tercalon kerana rezeki ini datang ketika saya hampir dua tahun tidak berlakon, ditambah pula trofi FFM yang sememangnya menjadi rebutan setiap anak seni.

"Perasaan teruja dan sedikit sebanyak menimbulkan rasa rindu pada dunia lakonan," ujarnya kepada mStar Online.

Ayu ditemui pada majlis pengumuman pengacara dan penyampai FFM 27 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Festival itu bakal diadakan pada 5 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam kategori tersebut, Ayu bakal bersaing dengan Izara Aishah, Fazura, Eja dan Nadiya Nisaa.

Ditanya soal kemenangan dan harapan untuk membawa pulang trofi, Ayu berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya bersyukur tersenarai dalam lima terbaik kategori itu.

Sementara itu, Bercerita soal kerjaya lakonannya, kata Ayu, dia terpaksa melupakan bidang seni bagi menumpukan perhatian terhadap keluarga.

"Buat masa ini saya gembira dengan kehidupan bersama keluarga dan membesarkan anak-anak.

"Kalau nak diikutkan memang rindu malah tawaran berlakon juga masih ada tetapi terpaksa ditolak secara baik kerana anak saya menyusu badan dan tidak boleh berenggang," ujarnya.

Ayu berkahwin dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim Zaquan Adha Abdul Radzak pada 21 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser (2) dan Muhammad Aisy Aryann (1).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan