Pelakon Redza Rosli Lalui Peristiwa Diserang Lelaki Mabuk

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2015 2:00 PM

Redza melalui saat getir apabila diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan minggu lalu. Foto Instagram Redza Rosli.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri M.A.I.D, Redza Rosli melalui saat getir apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan minggu lalu.

Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 23, berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja pulang dari penggambaran sebuah drama dan singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol sebelum dihampiri lelaki berkenaan.

"Kejadian ketika itu dalam pukul 2 pagi dan ketika hendak ke kaunter saya melihat seorang lelaki merenung saya dari dalam keretanya dan saya sangka dia ingin merompak saya.

"Ketika saya ingin isi minyak dia tiba-tiba memandu keretanya ke arah saya seperti ingin melanggar namun saya sempat mengelak.

"Tidak terhenti di situ dia turun dari kereta dan mendekati saya sambil marah-marah dan saya terhidu arak dari mulutnya sebelum saya tolak dia. Ketika itulah dia menumbuk saya dan saya mempertahankan diri," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Redza memberitahu dia mengalami kecederaan pada bahagian dada dan leher namun ia tidak serius.

kecederaan yang dialami Redza akibat diserang seorang lelaki tidak dikenali.

Dalam pada itu, Redza berkata, dia tidak berasa takut atau cemas tetapi hanya berfikir untuk menyelamatkan diri daripada terus diserang lelaki berkenaan.

Bagaimanapun kata Redza, dia sedar lelaki itu tidak berniat untuk mencari gaduh sebaliknya bertindak agresif kerana berada bawah pengaruh alkohol.

"Dia serang saya sehingga kereta saya kemik tetapi tiba-tiba dia minta leraikan pergaduhan tetapi kembali menyerang saya.

"Ketika itu saya sedar dia bertindak sedemikian kerana mabuk dan dia akhirnya meminta maaf sambil memeluk saya," jelasnya.

Sementara itu, Redza berkata, biarpun perkara itu diselesaikan secara baik namun dia tetap membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya sebagai langkah keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Redza kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Maria Terindah disamping Shahrizal Jaszle dan Sharifah Sakinah untuk siaran Hypp TV.

Ia diarahkan oleh pengarah, Kabir Bhatia.

Tags / Kata Kunci: Redza Rosli

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan