Pengarah Eoon Suhaini Lapor Polis Dipecat Produser 'Memori Cinta #3'

Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2015 5:00 AM

Eoon Suhaini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah drama Love You Mr Arrogant  iaitu Eoon Suhaini berang selepas dipecat daripada mengarahkan drama Memori Cinta #3  terbitan JNJ Creatif bagi siaran saluran televisyen internet, HyppTV.

Eoon berkata, dia dipecat selepas 13 hari mengarah tanpa sebarang surat pemecatan dan alasan yang kukuh daripada pihak produksi.

"Saya bengang kerana pihak produksi memecat saya tanpa alasan munasabah sebaliknya saya dituduh menimbulkan banyak masalah sebagai alasan untuk mereka menyingkirkan saya dalam projek itu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Kata Eoon, dia sudah nampak penipuan produser syarikat berkenaan sejak awal apabila pihak berkenaan telah menggunakan namanya untuk mempengaruhi HyppTV selepas satu kertas cadangan dihantar bagi penerbitan drama berkenaan sebanyak 30 episod.

Ujarnya, selepas pihak HyppTV bersetuju dengan kertas cadangan itu atas sebab populariti namanya sebagai pengarah berpengalaman, tiba-tiba pihak produksi memintanya agar tidak terlibat dalam projek itu.

"Saya bengang kerana mereka menipu, saya disuruh buat proposal drama dengan menggunakan nama saya sebagai pemilik syarikat produksi dan pengarah untuk disiarkan di stesen itu.

Namun, apabila stesen televisyen tersebut setuju untuk mengambil drama tersebut, produksi berkenaan beri pelbagai alasan supaya saya tidak terlibat dengan penggambaran itu.

"Mereka tiba-tiba ingin mulakan penggambaran secara tergesa-gesa iaitu ketika saya sibuk dengan penggambaran drama Hidayah Mu Ramadan untuk slot Ramadan di TV3, walhal saya sudah tahu perkara itu awal-awal lagi," ujarnya.

Effa terkilan digugurkan kerana minta cuti sakit.

Produksi JNI Creative dimiliki oleh Muhibbudin Ahmad dan Noraini Ahmad Helmi yang turut mempunyai dua buah syarikat produksi iaitu Kota Rentang dan Easy Win.

Eoon berkata, produksi tersebut terpaksa menggunakan khidmatnya sebagai pengarah berikutan saluran televisyen berkenaan hanya meluluskan nama dia sebagai pengarah dan seorang lagi iaitu Heykal Hanifah.

Dalam pada itu, Eoon berkata, dia sudah membuat laporan polis terhadap perkara tersebut pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dekat sini.

Sementara itu, salah seorang pelakon drama tersebut iaitu Effa Nareesha Muhammed, 38, turut menerima nasib yang sama apabila digugurkan selepas meminta cuti sakit.

Pengurusnya Fazs, 35, memberitahu pemecatan Effa dengan alasan dia tidak sihat untuk bekerja, walhal ia merupakan kali pertama Effa memohon untuk bercuti kerana masalah jantung.

"Effa memang ada masalah jantung. Sebelum dia diserang sakit, dia ada menerima panggilan daripada produser yang mahu berbincang mengenai masalah bayaran yang kononnya tidak setimpal.

Kemudian badannya jadi lemah, ketika saya minta produser untuk dia diberi cuti sehari, pihak produksi hubungi saya dan memberitahu bahawa Effa terpaksa digugurkan daripada membintangi drama itu," ujarnya.

Effa jatuh sakit selepas menerima panggilan daripada produser drama Memori Cinta #3 dan digugurkan dari panggambaran tersebut.

Bagaimanapun Fazs berkata, keadaan pelakon tersebut kini stabil dan dia sedang berehat di rumah keluarganya di Shah Alam.

Tambah Fazs, Effa sudah melakonkan lebih 40 adegan untuk drama tersebut dan tempatnya kini sudah digantikan dengan pelakon Iris Yasmin.

"Pada mulanya ada masalah tentang bayaran iaitu mereka berjanji untuk bayar 80 adegan pada harga RM7,500 dan jika lebih 80 adegan perlu dibayar harga lain, namun bila saya lihat keseluruhan adegan yang perlu dilakonkan adalah lebih 150 adegan.

"Saya minta penjelasan mengenainya dan disebabkan perkara itu, pihak berkenaan telah memarahi Effa sehingga dia sakit jantung. Mereka kemudian menggugurkannya daripada drama tersebut," ujarnya.

Jelas Fazs lagi, pihaknya sudah melaporkan perkara tersebut kepada Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman agar produksi tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.

Drama 30 episod berjudul Memori Cinta #3 turut dibintangi oleh Dayana Roza, Shima Anuar dan Riz Amin.
Tags / Kata Kunci: Eoon Suhaini , JNI Creative , Effa , Dayana Roza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan