Pengarah Jepun Dedikasikan Filem 'Nota' Buat Allahyarham Ramli Hassan

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 1:23 PM

Pelakon Ramli Hassan meninggal dunia pada Mei lalu akibat kanser dan Nota adalah filem terakhir lakonannya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah berasal dari Jepun, Yasu Tanaka mendedikasikan filem arahannya berjudul Nota kepada aktor Ramli Hassan yang meninggal dunia akibat kanser pada Mei lalu.

Yasu berkata, Ramli memainkan peranan besar dalam pembikinan filem lakonan Maya Karin dan Hans Isaac itu terutamanya dari segi idea untuk mengetengahkan keindahan Taman Negara Bako di Sarawak selain turut berlakon dalam karya berkenaan.

"Ketika projek ini masih dalam peringkat awal, Ramli adalah individu penting dalam menggerakkan filem ini terutamanya dari segi idea dan pemilihan lokasi penggambaran.

"Keindahan Taman Negara Bako di Sarawak dan penggunaan dialek tempatan adalah buah idea daripadanya. Sayang dia tidak dapat berada di sisi kami pada malam istimewa ini," katanya kepada mStar Online.


Yasu Tanaka.


Nota adalah filem sulung berbahasa Malaysia pengarah itu. Ia adalah terbitan 42 Pictures Sdn Bhd dan bakal ditayangkan pada 13 Ogos depan.

Bagaimanapun kata Yasu, dia bersyukur impian aktor itu untuk menonton filem berkenaan di layar skrin besar tercapai ketika ia ditayangkan pada sebuah festival filem yang diadakan di Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai Nota, Yasu berkata, filem itu mengangkat permasalahan hubungan suami isteri yang turut mendapat inspirasi daripada kisahnya sendiri.

Bagaimanapun kata Yasu, bagi memberikan nilai komersial dalam jalan ceritanya dia mengambil keputusan untuk mengangkat genre misteri dan jenayah sebagai plot utama.

Nota bakal ditayangkan pada 13 Ogos depan.


"Ia sebenarnya sebuah kisah biasa yang dialami mana-mana pasangan berkahwin termasuk saya sendiri tetapi ia hanya sebagai teras kepada plot ditampilkan.

"Ketika saya menulis skrip Nota saya ingin menampilkan kisah misteri dalam hubungan suami isteri dan bukan sekadar sebuah kisah biasa," ujarnya.

Sementara itu, Yasu berkata, pemilihan Maya dan Hans dibuat berdasarkan pengalaman kedua-dua pelakon itu dan dia berpuas hati dengan persembahan diberikan.

"Untuk Nota saya mencari pelakon bukan sahaja yang mempunyai karisma tetapi juga pengalaman hebat dalam bidang lakonan dan ternyata kedua-dua mereka memberikan persembahan luar biasa," jelasnya.
Tags / Kata Kunci: Yasu Tanaka , Nota , Ramli Hassan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan