Amira Othman Tak Putus Asa Jadi Penyanyi

Diterbitkan: Ahad, 19 Julai 2015 12:01 AM

Amira Othman

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) Amira Othman menganggap masih belum terlambat untuk dia terus berusaha meletakkan nama sebaris dengan rakan-rakan AF yang lain dalam industri seni tanah air.

Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 22, berkata, kejayaan rakan-rakannya memberi semangat untuk dia bersikap lebih optimis dan tidak berputus asa.

"Saya tidak pernah rasa putus asa dan masih cuba untuk dikenali sebagai penyanyi dan meletakkan nama sebaris dengan kawan-kawan lain.

"Bagi saya usia masih muda dan saya patut menggunakan platform yang ada ini sebaik-baiknya," ujarnya kepada mStar Online.

Amira merupakan finalis program realiti Akademi Fantasia 2013  bersama penyanyi Indah Ruhaila, Faizul Sany dan Aisyah Aziz.

Dalam pada itu, Amira yang baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Hati-Hati  berharap lagu tersebut mendapat perhatian masyarakat.

Katanya, lagu ciptaan Faizul Sany, Heal dan Mike Chan itu merupakan percubaan kali keduanya untuk dikenali sebagai penyanyi.

"Selepas keluar AF 2013 saya ada single berjudul Sesaat Untukku, namun kurang diterima kerana mungkin terlalu berat untuk saya sebagai pendatang baru.

"Sekarang saya bergerak sendiri tanpa bernaung dengan mana-mana label atau syarikat pengurusan dan single kedua ini pun saya gunakan duit simpanan sendiri sahaja. Bagi saya lagu ini lebih catchy dan mudah untuk diterima pendengar," ujarnya.

Bercerita tentang Aidilfitri, Amira berkata, usia yang semakin dewasa membuatkan dia kurang berbelanja untuk persiapan raya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Setiap tahun memang saya akan balik ke Skudai Johor untuk beraya bersama keluarga. Tahun ini saya kurang berbelanja, mungkin kerana semakin dewasa.

"Kalau dulu masa raya inilah nak beli semua barang-barang baru," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Amira AF2013

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan