Ainul Aishah Serik Kongsi Gambar Di Instagram

Diterbitkan: Selasa, 14 Julai 2015 5:25 AM

Ainul Aishah

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah kini kurang memuat naik gambar-gambarnya di laman sosial Instagram bagi mengelakkan komen-komen negatif dan perbalahan peminat selepas insiden gambar 'bikini' menjadi kontroversi.

Ainul, 30, berkata, prinsip itu dilakukannya selepas berasa serik apabila gambar yang dimuat naik dikritik selepas dia dianggap berpakaian kurang sopan, biarpun gambar tersebut hanya menggunakan teknik pengubahsuaian menerusi aplikasi telefon semata-mata.

"Selepas kejadian itu saya jarang berkongsi gambar sebab ramai sangat yang nak beri teguran sehingga membuatkan kita rasa seperti tidak layak hidup.

"Bila saya nak kongsi gambar, saya akan fikir beberapa kali dan pastikan gambar tersebut tidak menimbulkan fitnah," katanya kepada mStar Online.

Ainul berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya dikritik kerana dikatakan berbikini ketika sedang bercuti di sebuah pulau pada Mac lalu.

Tambah Ainul, perkara tersebut membuatkan dia berbalah dengan pengikut-pengikutnya bagi menjelaskan kejadian sebenar.

Gambar menggunakan teknik pengubahasuaian aplikasi mirror di Instagram ini mencetuskan kontroversi.
Sementara itu, Ainul berkata sehingga kini masih ada segelintir pengikutnya yang masih menulis dan mengkritik tentang gambar itu di Instagram.

"Mereka semua cari sebab sahaja, hingga sekarang ada lagi yang beri komen negatif dan bertelagah pendapat pada gambar saya walaupun di bulan puasa ini," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang bisnes perniagaan biskut Ainul A. Cookies, Ainul berkata, dia sudah memasarkan biskut tersebut di sebuah pasaraya di Singapura sejak awal Julai lalu.

Dia kini berehat daripada sebarang aktiviti seni bagi menumpukan perhatian terhadap perniagaan tersebut.

"Alhamdulillah ia semakin berkembang dan sudah ada permintaan untuk dipasarkan di pasaraya Takashimaya di Singapura bermula Julai ini.

"Sekarang saya sudah ada lokasi membakar biskut iaitu di Taman Tun Dr Ismail dengan beberapa pekerja," ujarnya.

Tambah Ainul, dia merancang untuk mengembangkan lagi pasaran biskutnya di Indonesia dan Brunei.
Tags / Kata Kunci: Ainul Aishah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan