Stesen Radio Popular Gam Lagu AC Mizal

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2015 12:34 PM

AC Mizal gembira Peace Yall FM dianggap sebagai pesaing radio tempatan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk AC Mizal memberitahu lagunya berjudul Paranoid yang dinyanyikan besama aktres Indonesia Luna Maya digam stesen radio popular dengan alasan dia mempunyai radio internet sendiri iaitu Peace Yall FM.

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 43, berkata, perkara tersebut diberitahu oleh syarikat rakamannya Sony Music selepas dia mendapati lagu itu tidak dimainkan selepas pelancaran radio internet tersebut pada awal Mei lalu.

"Saya dimaklumkan oleh syarikat rakaman bahawa lagu-lagu saya tidak dimainkan lagi di stesen radio Era FM dan Hot FM kerana saya telah membuka radio internet dan ia menjadi pesaing bagi radio mereka.

"Mula-mula lagu Paranoid ada juga dimainkan beberapa kali dan lagu baru berjudul Peace Yall langsung tidak boleh dimainkan kerana dikatakan ia cuba mempromosi saluran radio saya," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar vivo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Tambah AC, dia agak terkilan apabila stesen radio tempatan tidak memberi sokongan terhadap kerjaya nyanyian seseorang artis bukan sahaja kepada dirinya malah kepada penyanyi baharu yang berbakat.

Katanya, sikap stesen radio tempatan yang sering memilih artis dan lagu tertentu kegemaran mereka juga akan membuatkan industri muzik tanah air tidak berkembang.

"Itu saya yang kena dan mungkin boleh saya putar lagu saya itu di radio saya sendiri, bayangkan kalau penyanyi lain yang kena perkara itu di mana mereka mahu pergi?

"Disebabkan perkara itu kami di Peace Yall FM menerima apa juga lagu daripada artis baharu dan lama yang dirasakan baik dan berkualiti untuk dimainkan," ujarnya.

Tambahnya, kelebihan sebagai seorang artis eksklusif sebuah stesen televisyen juga tidak memberi kelebihan untuk lagunya diputarkan di rangkaian stesen radio milik syarikat penyiaran itu.

Bagaimanapun, dari sudut lain, AC berkata, ia merupakan satu perkembangan yang baik apabila stesen radio yang sudah popular sedar tentang kewujudan radio internet miliknya itu dan menganggap ia sebagai satu pesaing.
Tags / Kata Kunci: AC Mizal , Luna Maya , Peace Yall FM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan