Suami Berjaya Pujuk, Hubungan Shahora & Raja Mukriz Kembali Jernih

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 5:00 AM

Sharifah Shahora dan suaminya, Raja Mukhriz

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Shahora menganggap pendedahannya mengenai kecurangan suami, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 43, mempunyai hikmah apabila mereka berjaya memperbaiki semula hubungan yang retak gara-gara orang ketiga.

Shahora atau nama sebenarnya Sharifah Shahora Syed Akil, 40, berkata, walaupun ada pihak memandang serong pendedahan tersebut, namun ia memberi impak positif untuk mereka berfikir secara matang dalam menjernihkan masalah rumah tangga.

"Alhamdulillah, dua minggu selepas pendedahan itu, Mukhriz memujuk dengan memberi bunga, menghantar video-video dan meluahkan kata-kata cinta di WhatsApp dan Facebook. Saya nampak usahanya yang mahu perbaiki hubungan ini.

"Walaupun hati saya masih lagi sakit dengan sikapnya itu, tetapi sebagai seorang isteri yang sudah lama hidup bersama, tambahan pula kami ada anak, saya berfikir panjang dan memperbaiki semula perkahwinan kami.

"Mungkin bagi orang luar, mereka nampak keburukan apabila saya dedahkan sikap buruk suami. Tetapi ia berhasil bagi saya. Jika tidak, masalah ini mungkin berlarutan tanpa kesudahan. Saya harapkan bersempena dengan berkat bulan Ramadan ini rumah tangga kami dapat kembali normal," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Shahoran dan Mukhriz mendirikan rumah tangga pada 26 Oktober 2008.

Pada 2 Jun lalu, Shahora mendedahkan di laman sosial Instagram dan Twitter miliknya mengenai kecurangan suami, jurukamera bebas yang mempunyai hubungan dengan seorang wanita bernama Yanie.

Kejadian tersebut membuatkan rumah tangga mereka dingin ibarat retak menanti belah.

Sementara itu, kata Shahora, memandangkan dia dan suami masih lagi sibuk dengan kerja, ia membuatkan mereka sukar untuk berjumpa bagi merapatkan lagi hubungan.

"Kesibukan saya dan Mukhriz memberi ruang untuk kami berfikir secara waras dan bermuhasabah diri. Lagipun kami dah tua dan boleh berfikir secara matang.

"Tetapi di bulan puasa ini kami sukar untuk meluangkan masa bersama. Cuma Mukhriz ada merancang untuk membawa saya dan anak-anak bercuti selepas Aidilfitri nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Shahora menyifatkan pergolakan rumah tangganya itu memberi pengajaran besar kepada mereka di mana pasangan suami isteri perlu bersikap terbuka untuk berbincang berkaitan masalah rumah tangga.

Malah, pasangan suami isteri juga perlu bijak menangani masalah agar tidak menjadi lebih serius.

"Mungkin kami dah tua membuatkan fikiran kami lebih matang. Rasanya jika saya muda, jalan penyelesaian saya adalah berpisah.

"Atau mungkin melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Seperti yang kita lihat sekarang ini ramai pasangan suami isteri yang bertindak melulu sehingga membunuh kerana masalah yang timbul dalam rumah tangga," tuturnya.

Shahora dan Mukhriz mendirikan rumah tangga pada 26 Oktober 2008 dan mempunyai dua orang cahaya mata berusia tiga dan tujuh tahun.

Tags / Kata Kunci: Sharifah Shahora

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan