Nad Zainal Enggan Kongsi Kisah Teman Lelaki

Diterbitkan: Sabtu, 20 Jun 2015 1:00 AM

Nad tidak selesa bercakap soal lelaki kerana pengalaman lalunya sebelum ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal memberitahu tidak selesa untuk bercakap soal lelaki selepas mengalami beberapa kegagalan dalam hubungan cinta sebelum ini.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berkata, dia bimbang hubungan yang terjalin itu tidak berakhir dengan perkahwinan biarpun ia telah dihebahkan untuk pengetahuan umum.

"Saya pernah mengalami beberapa kegagalan dalam hubungan cinta sebelum ini dan untuk bercakap secara terbuka soal itu saya jadi bimbang sekiranya ia tidak jadi," katanya.

Nad mengulas mengenai tindakannya memuat naik gambar di Instagram miliknya baru-baru ini bersama seorang lelaki yang dipercayai sebagai teman lelakinya.

Bagaimanapun pelakon kecil molek itu memadam gambar berkenaan selepas ia mendapat perhatian peminat di laman sosial berkenaan.

Dalam pada itu, Nad menegaskan, lelaki berkenaan yang merupakan seorang kru sebuah produksi bukan teman lelakinya seperti diperkatakan sebaliknya mereka adalah sahabat baik.

Nad sibuk dengan perniagaan sepanjang Ramadan.

Jelas Nad, sebelum ini mereka sama-sama menuntut di Akademi Seni Budaya & Warisan kebangsaan (Aswara) sebelum masing-masing terpisah selepas tamat pengajian.

"Dia adalah senior saya di Aswara tetapi kami rapat malah Sherry Alhadad juga rapat dengannya. Kami bertemu semula beberapa bulan lalu selepas sekian lama tidak bertemu," katanya.

Sementara itu, Nad mengakui tindakannya memuat naik sekeping gambar bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai teman lelakinya adalah satu kesilapan.

Kata Nad, dia tidak menyangka foto berkenaan mengundang banyak komen negatif sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan peminat di Instagram miliknya.

"Saya tiada niat apa-apa pun ketika memuat naik gambar itu kerana kami hanya kawan dan tidak sangka pula ia mendapat kecaman dan komen negatif daripada pengikut di Instagram.

"Sebagai kawan sudah tentu saya rasa bersalah kerana dia dihentam teruk dan sebab itu saya padam gambar berkenaan kerana tidak mahu dia terasa hati dan menjejaskan persahabatan kami," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia bakal membuka gerai jualan barangan seperti makanan kering, baju kurung dan tudung bersempena Santai Lebaran Fiesta 2015 yang diadakan di Laman Sari, Istana Budaya bermula 25 Jun hingga 16 Julai depan.

Tags / Kata Kunci: Nad Zainal.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan