Azimat Ciptakan Lagu Khas Buat Juwie

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 2:30 AM

Kumpulan Azimat dari kiri; Din, Walid, Zeck dan Zack.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Azimat iaitu Datuk Zeck tampil dengan lagu berjudul Syawalku Kini bagi mengabadikan karya tersebut khas buat Allayarham penulis lirik dan bekas wartawan hiburan, Juwie.

Zeck atau nama sebenarnya Zulkifli Yusof, 47, berkata, lagu tersebut dicipta sebagai tanda persahabatannya terhadap Juwie apatah lagi banyak kenangannya bersama Allahyarham ketika bulan Ramadan.

“Saya buat lagu ini khusus untuk arwah Mama Juwie kerana setiap kali masuk bulan Ramadan, saya akan datang ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengannya berbincang mengenai karya seni.

“Ini merupakan tahun pertama puasa tanpa arwah  dan saya rasa satu kehilangan kerana selama 20 tahun perkenalan, saya pasti akan berjumpa dengannya setiapkali hadirnya Ramadan,” katanya kepada mStar Online.

Zeck dan anggota Azimat tinggal di Sungai Petani, Kedah.

Mereka ditemui sewaktu pelancaran album berjudul Azimat 2 di Hard Rock Café, disini pada Selasa.

Azimat bakal pasarkan album mereka bermula 25 Jun ini. FOTO: ROHAIZAT MD DARUS

Selain itu, Zeck berkata dia berasa sedih kerana tidak sempat menziarahi  Juwie sebelum arwah menghebuskan nafas terakhir pada 3 April lalu akibat kanser prostat.

“Sewaktu arwah sakit, saya berada di China jadi tidak sempat nak ziarah kerana urusan kerja belum selesai.

“Saya selalu berkesempatan jumpa dengan arwah hanya pada bulan puasa kerana waktu itu sahaja saya mempunyai masa terluang,” katanya.

Terdahulu, kumpulan Azimat yang popular menerusi lagu Sempurna pada 1997 diangotai oleh Zeck (vokalis), Zack (drum), Walid dan Din (gitaris).

Sebanyak 12 lagu dimuatkan dalam album ini antaranya ialah Penyesalan, Selagi Ada, Sempurna, Syawalku Kini, Keinsafan Menjelma serta Kematian.

Kesemua lagu tersebut dihasilkan oleh Zeck sendiri dan ia bertemakan ketuhanan.

Album tersebut dikeluarkan sebanyak 10,000 unit dan akan berada di pasaran pada 25 Jun ini. Ia dijual dengan harga RM35 setiap satu.

Azimat akan mengadakan promosi jelajah selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri bermula pada bulan Julai sehingga Disember depan di Perak, Pahang, Melaka, Sabah dan Singapura.
Tags / Kata Kunci: Azimat , Juwie

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan