Elfira Loy Diburu TV Indonesia Gara-Gara Baim Wong

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2015 12:29 PM

Elfira Loy.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy mendedahkan dia menjadi buruan pengendali program televisyen di Indonesia yang ingin mengetahui sejauh manakah hubungannya dengan pelakon negara itu, Baim Wong.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 21, berkata, dia terpaksa menolak permintaan itu kerana tidak mahu hubungan mereka sebagai kawan disalah tafsir dan diperbesarkan sebagai pasangan kekasih.

"Saya pernah dijemput untuk program televisyen Indonesia iaitu Dahsyat sebagai kejutan buat Baim dan selepas itu saya difahamkan rating program tersebut meningkat secara mendadak ketika kami ditemubual.

"Selepas itu banyak juga program televisyen yang ingin undang saya sebagai tetamu, namun saya memberitahu mereka perkara sebenar hubungan kami sekadar kawan sahaja.

"Saya tanya mereka adakah mereka mahu saya berpura-pura menjadi kekasih Baim," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada pelancaran program sempena Ramadan di TV9, di Hotel Royale Chulan, di sini, Khamis.

Baim Wong.

Elfira diminta mengulas perkembangan hubungan rapatnya dengan pelakon Indonesia Baim Wong yang sebelum ini digosipkan bercinta.

Jelas Elfira, mereka masih berkawan seperti dahulu dan menyerahkan perkara tersebut kepada takdir serta jodoh.

"Dia faham saya tidak mahu istilah bercinta dan kami memang rapat cuma untuk saya menganggap dia sebagai kekasih itu belum lagi.

"Mereka sangka saya kekasih Baim mungkin kerana sebelum ini dia pernah memberi kenyataan kepada media di sana bahawa dia sedang mencari cinta membuatkan orang di sana memberi tumpuan kepada saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Elfira berkata, dia bakal membuka sebuah kafe diberi nama Love Me 7 Days di Cheras yang mula beroperasi pada Ramadan ini.

Dia juga banyak meminta pandangan daripada Baim dalam urusan berkaitan kafe dan menu yang terbaik untuk ditawarkan kepada pelanggan.

"Saya banyak minta nasihat dia dalam soal membuka kafe tersebut kerana dia juga mempunyai kafe di Jakarta.

"Saya juga minta dia berkongsi resipi istimewanya di sana untuk menjadi salah satu menu kafe saya nanti," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Elfira Loy , Baim Wong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan