Kumpulan Rabbani Nantikan Sentuhan KRU

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 5:45 AM

Azadan (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulan Rabbani.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kumpulan Rabbani berhasrat mendapatkan semula sentuhan KRU untuk mengembalikan kegemilangan lagu Intifada yang menaikkan nama mereka 15 tahun lalu.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 41, berkata mereka berbesar hati jika KRU dapat memberi kerjasama untuk pembikinan album yang akan datang.

“Kami sedang ‘melamar’ KRU untuk dapatkan beberapa lagu kerana kami percaya sentuhan mereka lain daripada yang lain.

“Rabbani mula dikenali ramai daripada lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali. Jasa KRU sebelum ini sangat besar buat kami,” katanya kepada mStar Online.

Azadan dan kumpulan nasyid Rabbani ditemui pada Perasmian Pakej Iftar Ramadan di Dewan Orkid, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini pada Khamis.

KRU dianggotai tiga beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry.

Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Tamby Omar Mohammed (kanan) menyerahkan dokumen kerjasama antara perbadanan itu dengan kumpulan Rabbani sempena Ramadan ini.

Selain itu, Azadan menafikan kumpulan Rabbani mempunyai masalah dalaman dengan KRU sehingga sudah lama tidak menjalinkan kerjasama.

“Sejujurnya kami tidak ada apa-apa masalah dengan KRU, selepas tamat kontrak dengan syarikat rakaman EMI, kami di bawah syarikat rakaman milik KRU.

“Dalam masa tersebut, kami sempat merakamkan tiga album iaitu Qiblat, Epik dan Yalla Beena. Mungkin masing-masing sibuk dan sudah mula bergiat aktif dalam bidang sendiri,” katanya.

Tambah Azadan, biarpun mereka tidak menyambung semula kontrak bersama KRU kerana mahu bergerak sendiri tetapi dari segi album mereka sentiasa mengharapkan bantuan dan kerjasama KRU sebagai komposer.

Dalam perkembangan lain, Rabbani Production (M) Sdn. Bhd. kini dilantik untuk kali kedua menjalankan kerjasama dengan PKPS bagi program Iftar Ramadan bermula pada 5 sehingga 25 Ramadan ini.

Mereka akan mengadakan persembahan di Dewan Orkid PKPS untuk menghiburkan tetamu yang hadir berbuka puasa.

Rabbani juga akan mengadakan pakej percutian kembara bakti di Pattani, Thailand pada Sabtu ini untuk melawat beberapa madrasah serta menghulurkan bantuan.

Tags / Kata Kunci: Rabbani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan