Mustar (Kilauan Emas) Agihkan Wang Kemenangan Untuk Anak, Golongan Miskin

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 12:29 PM

Mustar akan mengagihkan wang kemenangannya kepada lima anak-anaknya sebagai simpanan masa hadapan mereka. Foto FAIHAN GHANI.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Juara program Kilauan Emas musim kelima, Mustaffa Rasyid Abd Jabar memberitahu wang kemenangan berjumlah RM110,000 yang diterimanya bukan milik mutlak dirinya sahaja.

Mustaffa atau lebih mesra dengan sapaan Mustar, 47, berkata, wang tersebut akan diagih-agihkan kepada lima orang anaknya sebagai simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan selain akan disedekahkan kepada golongan miskin.

"Saya tiada perancangan tertentu untuk wang kemenangan tersebut tetapi apa yang pasti ia bukan milik saya tetapi anak-anak dan ia akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka untuk kegunaan masa hadapan.

"Selain itu saya juga bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran untuk keluarga, kenalan di kampung menggunakan wang berkenaan dan menyumbangkan kepada golongan miskin," katanya kepada mStar Online.

Mustar bersama trofi dan replika cek kemenangannya.

Mustar yang juga seorang tukang kayu berasal dari Selangor menumpaskan empat peserta lain bagi merebut gelaran juara dan Anugerah Khas Juri pada pertandingan akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB dekat sini pada malam Rabu lalu.

Selain wang tunai RM110,000, Mustar turut membawa pulang sebuah motosikal sumbangan Royal Enfield bernilai RM50,000, sebuah kerusi urut sumbangan Go Shop beserta trofi.

Naib Juara dirangkul oleh Wan Muhammad Logan Wan Abdul atau Elji, 44, manakala tempat ketiga dimenangi Mursalim Muhidin atau Aling, 44.

Dalam pada itu, Mustar berkata, biarpun tidak menyangka menerima gelaran juara namun dia bersyukur kerana usahanya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Kata Mustar, sebelum Kilauan Emas, dia pernah menyertai lebih 30 pertandingan nyanyian namun menerusi program terbitan Astro itu adalah kejayaan terbesarnya.

Peserta akhir program Kilauan Emas 5.

"Walaupun tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi pertandingan ini namun saya gembira dan bersyukur kerana usaha saya selama ini akhirnya berjaya.

"Saya tidak pernah jemu memasuki pertandingan nyanyian kerana saya memang minat menyanyi sejak dahulu lagi," ujarnya.

Sementara itu, Mustar berkata, buat sementara waktu, dia akan berehat daripada meneruskan kerjayanya sebagai tukang kayu dan akan memfokuskan kepada bidang nyanyian sekiranya mempunyai peluang.

Pun begitu kata Mustar, dia realistik dengan usianya sekarang dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk bergelar artis.

"Bukan tinggalkan kerjaya sekarang tetapi berehat sebentar kerana ingin fokus kepada nyanyian buat sementara waktu.

"Insya-Allah jika ada undangan yang sesuai saya akan terima dan Elji pun ada ajak saya dalam projek istimewanya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mustar , Kilauan Emas 5.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan