Adam Corrie & Adi Putra Bawa 23 Mualaf Lakukan Umrah

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 4:30 AM

Adam Corrie kiri bersama Tengku Puteri Seri Lela Manja dan Adi Putra.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Adam Corrie dan Adi Putra akan membawa 23 mualaf ke Mekah dan Madinah pada 10 hingga 21 Jun ini bagi membantu saudara baru mengerjakan ibadah umrah.

Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 47, berkata, ia telah dirancang sejak dua tahun lalu namun terhenti seketika kerana melalui pelbagai halangan.

“Ini merupakan projek pertama saya yang tertunggak selama dua tahun lalu kerana masalah kekurangan dana namun Allah izinkan saya bertemu dengan sahabat saya, Adi Putra untuk bekerjasama mencari penaja.

“Alhamdulillah selama beberapa bulan mencari dana, kami menerima tajaan penuh dari pelbagai pihak untuk tanggungan 24 jemaah muallaf termasuk saya,” katanya kepada mStar Online.

Adam Corrie

Adam Corrie dan Adi Putra ditemui sewaktu Majlis Pelancaran & Doa Selamat Keberangkatan ke Tanah Suci di Restoran Bangkok House, di sini pada Ahad.

Sementara itu, bagi Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 34, agak sukar untuk mendapatkan dana pada peringkat permulaan namun semuanya berjalan dengan lancar.

“Apabila saya dapat tahu niat Adam ingin membawa mualaf mengerjakan umrah, saya menghulurkan bantuan untuk bekerjasama kerana apabila ada niat dan hajat yang baik, lebih indah kalau ditunaikan.

“Bukan mudah untuk mengumpul dana dengan ujian yang berbagai bentuk diterima namun bagi saya itu merupakan satu pengalaman yang manis,” katanya.

Menerusi program ini, Triways Travel Network antara syarikat yang menghulurkan dana dari segi pengangkutan, penginapan, kelengkapan dan makanan buat jemaah mualaf yang terpilih untuk menunaikan umrah nanti.

Pihak lain yang turut sama menyumbang dan memberi kerjasama ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Baitulmal dan HADID Holidays.

Turut hadir, anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah yang memberi sumbangan bagi program membawa 23 mualaf mengerjakan Umrah tersebut.
Tags / Kata Kunci: Adam Corrie

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan