One Nation Emcee Bantu Artis Sabah Mulakan Karier Di KL

Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 1:09 PM

One Nation Emcee mahu membantu artis-artis Sabah yang ingin mencuba nasib di Semenanjung Malaysia.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kumpulan One Nation Emcee mendedahkan beberapa bintang program realiti berasal dari Sabah meminta bantuan mereka untuk merancakkan kembali karier nyanyian mereka di Semenanjung Malaysia.

Salah seorang anggotanya, Mimi, 28, berkata, kebanyakkan daripada mereka mempunyai bakat luar biasa namun karier mereka terkandas kerana tidak diberi peluang yang sepatutnya selepas pertandingan berkahir.

"Artis di Sabah sebenarnya banyak yang berbakat besar tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk melebarkan karier di Kuala Lumpur atau tidak mendapat peluang secukupnya selepas menyertai sesebuah program realiti.

"Sayang bakat mereka terbiar begitu sahaja dan atas dasar itu juga membuatkan One Nation Emcee tergerak hati untuk membantu mereka," katanya kepada mStar Online.

Selain Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, One Nation Emcee turut dianggotai oleh Nur Hasan Balas (Jojo) dan Mohd Norzaidi Edris (Zydee).

Dalam pada itu, Mimi berkata, One Nation Emcee berani memulakan langkah tersebut kerana mempunyai jaringan kuat dengan industri muzik di Sabah menyebabkan beberapa artis meminta pertolongan mereka.

One Nation Emcee bakal muncul dengan album terbaharu pada Ogos depan.

Malah mereka berharap, pertolongan tersebut dapat menghubungkan 'jambatan' industri muzik di Sabah dan Kuala Lumpur pada masa hadapan.

"Kalau diikutkan tidak berani juga kerana ini melibatkan karier orang lain tetapi demi membantu mereka kami akan cuba sedaya upaya untuk memperkenalkan mereka di Kuala Lumpur.

"Sudah tentu ia bukan satu tugas mudah tetapi berbekalkan keyakinan dan niat untuk membantu, Insya-Allah ia akan berhasil," ujarnya.

Sementara itu, Mimi berkata, bagi merialisasikan hasrat tersebut, One Nation Emcee akan turut membantu dari segi pemilihan konsep, lagu malah imej mereka.

Katanya, aspek berkenaan sangat berkenaan kerana ingin mereka tampil dengan pakej lengkap sebagai artis.

"Dari segi vokal memang tidak perlu dirisaukan lagi namun pada masa sama aspek lain perlu diberikan perhatian dan kami sedia membantu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mimi berkata, kumpulannya itu bakal muncul dengan album terbaharu pada Ogos depan yang bakal memuatkan 10 buah lagu.

Tags / Kata Kunci: One Nation Emcee , Mimi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan