Penyanyi M. Nasir Jelajah 4 Negeri Sempena 40 Tahun Jadi Artis

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 2:01 AM

Datuk M. Nasir

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir bakal mengadakan siri konsert jelajah di empat negeri bagi menghargai peminat di luar Kuala Lumpur sempena 40 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, berkata, beliau berasa teruja dengan konsert solo itu dan mengharapkan ia dapat meninggalkan kesan kepada penonton.

“Saya amat bersyukur serta teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan konsert jelajah ini yang akan bermula di Kuantan.

“Untuk menarik minat orang ramai datang ke konsert ini adalah satu cabaran tetapi saya mengharapkan ia berjaya bukan saja dari sudut sambutan malah dari segi persembahan yang akan saya berikan,” katanya kepada mStar Online.

M. Nasir ditemui pada sidang media konsert M. Nasir Kembara yang diadakan di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas vokalis kumpulan Kembara sekitar tahun 1980-an berkata, terdapat slot khas akan dibuat dalam konsert tersebut dengan mengundang kumpulan itu semula.


M Nasir sudah 40 tahun bergelar artis.

Katanya, selain kumpulan Kembara, beberapa artis generasi muda turut dijemput untuk membuat persembahan pembukaan.

“Kami akan berbincang dan akan adakan segmen khas buat kumpulan Kembara sebagai artis undangan tetapi hanya di beberapa lokasi tertentu sahaja.

“Bagi persembahan pembukaan, penyanyi generasi muda seperti Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati akan turut sama menjayakan konsert ini,” katanya.

Konsert ini dijadualkan berlangsung bermula di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) pada 23 Mei 2015, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor (7 November).

Nama konsert Kembara ini dipilih bukan atas factor m Nasir sebagai anggota kumpulan Kembara sebelum ini tetapi kerana perjalanan seni beliau sepanjang berada dalam industri dan kekal sehingga sekarang.

Bagi yang ingin menempah tiket, boleh layari wwww.ticket2u.biz atau hubungi  talian 03-41478600.

Belian terus boleh dilakukan di Luncai Emas Sdn. Bhd, Bandar Baru Sg Buloh, Selangor serta di empat lokasi tersebut.

Tiket-tiket dijual pada harga RM65, RM75, RM125 dan RM155 berbeza mengikut lokasi tertentu.
Tags / Kata Kunci: M. Nasir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan