Karya Eddie Hamid Buat Farahdhiya Tidak Yakin

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 6:30 AM

Farahdhiya

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Farahdhiya mengakui pada mulanya agak skeptikal apabila bekerjasama dengan komposer, Eddie Hamid menerusi single terbaharunya berjudul Ku Tak Rela.

Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohamed Amin, 31, berkata, perasaan itu wujud kerana bimbang tidak menyukai lagu tersebut memandangkan stail Eddie yang gemar menghasilkan lagu balada 'meleleh'.

"Apabila diberitahu single terbaharu saya ciptaan Eddie Hamid saya ragu-ragu jugak kerana semua tahu stail lagu yang dia hasilkan lebih kepada balada 'meleleh'.

"Bukan tidak gemar lagu-lagu sedemikian cuma saya rasa ia tidak sesuai dengan saya," katanya kepada mStar Online.


Farahdhiya.

Farahdhiya ditemui pada majlis pelancaran butik terbaharu Dressing Paula di Mid Valley di sini, Khamis.

Butik yang terletak di tingkat 1 pusat beli belah itu turut menampilkan koleksi terbaharu musim bunga/panas 2015.

Pembukaan itu dirasmikan oleh Ketua Pemasaran Dressing Paula, Kay Chow.

Bagaimanapun katanya, jangkaan mengenai Eddie ternyata meleset apabila dia jatuh cinta dengan lagu tersebut yang sesuai dengan seleranya.

Malah kata Farahdhiya, Eddie memberinya kebebasan untuk mencorakkan lagu tersebut ketika proses rakaman.

"Jangkaan saya meleset kerana saya menyukai lagu berkenaan dan ia sangat berbeza daripada karya-karya sebelum ini.

"Proses rakaman juga berjalan lancar malah Eddie memberi kepercayaan kepada saya untuk mencorak vokal lagu itu mengikut kehendak saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Farahdhiya berkata, respons peminat terhadap lagu berkenaan juga amat baik malah mendapat sokongan stesen radio tempatan.

Jelasnya, penantian untuk muncul dengan single baharu selama tiga tahun berbaloi dan tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan Eddie pada masa hadapan.

"Sebelum ini ada juga peminat yang tanya kenapa pilih Eddie tetapi selepas mendengar lagu itu rata-rata menyukainya," kata Farahdhiya.

Eddie Hamid

Sementara itu, Farahdhiya berkata, dia tidak merancang untuk tampil dengan album baharu kerana sedar  dengan kelembapan industri muzik beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dapat tampil dengan single pun sudah Alhamdulillah dan mengenai album rasanya belum masanya.

"Biarlah saya fokus kepada Ku Tak Rela dan aktiviti lakonan terlebih dahulu," ujarnya.

Ku Tak Rela turut mendapat sentuhan penerbit drama, A.Aida sebagai penulis lirik.
Tags / Kata Kunci: Eddie Hamid , Farahdhiya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan