Ku Hariz Belum Rancang Kahwin Jihan Muse

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 5:33 AM

Jihan dan Ku Hariz tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman solo mereka.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Ku Hariz tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman bujangnya sekali gus melamar teman wanitanya, pelawak Jihan Muse.

Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 30, berkata, biarpun mereka sudah menjalinkan hubungan cinta lebih dari lima tahun namun mereka meletakkan soal perkahwinan kepada ketentuan jodoh.

"Kami tidak pernah ada sebarang sasaran atau merancang bila hendak kahwin kerana takut untuk berbuat demikian.

"Ini kerana sekiranya ia dihebahkan dan kalau ia tidak jadi, kami yang akan malu. Soal jodoh ini rahsia Allah.

"Buat masa ini kami berdua hanya mengikut keadaan dan Insya-Allah jika ada jodoh pasti kami akan berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua itu berkata, meskipun sudah menjalinkan hubungan untuk tempoh panjang namun dia yakin dengan percintaan tersebut kerana keserasian yang wujud pada diri masing-masing.

Ku Hariz.

Malah katanya, faktor itu juga membuatkan mereka tidak tertekan untuk berumah tangga biarpun sentiasa mendapat pertanyaan daripada ahli keluarga dan teman-teman rapat.

"Buat masa sekarang kami masing-masing sibuk dengan kerjaya terutamanya Jihan dan kami tidak mahu terburu-buru dan meletakkan tekanan terhadap isu perkahwinan," katanya.

Sementara itu, Ku Hariz menyangkal dakwaan dia enggan berkahwin kerana bimbang popularitinya yang sedang meningkat akan merundum selepas bergelar suami.

Sebaliknya dia percaya selepas berkahwin dia akan lebih dikenali dan diberikan rezeki lebih banyak kerana ikatan dibina membawa banyak kebaikan.

"Saya tidak pernah anggap diri dikenali pun walaupun sudah tujuh tahun bergelar pelakon dan soal populariti ini bukanlah alasan kenapa saya enggan berkahwin.

"Saya yakin dan percaya perkahwinan akan membuka pintu rezeki saya lebih luas lagi dan itu juga janji Allah," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Ku Hariz , Jihan Muse.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan