Azwan Kombos Geli Tonton Lakonan Sendiri

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 5:30 AM

Azwan Kombos membintangi filem 'Jalan Puncak Alam' yang bakal ditayangkan pada 7 Mei 2015.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos berasa geli untuk menonton lakonannya sendiri kerana merasakan watak dibawa kurang memberi kepuasan.

Azwan atau nama sebenarnya Mohd. Al Azwan Kombos, 30, berkata perasaan itu wujud kerana dia sedar mampu memberikan lakonan lebih mantap terhadap watak yang dibawa.

"Kadang-kadang bila saya melihat lakonan saya sendiri, ada timbul perasaan geli apabila sesuatu watak yang saya bawa itu kurang menjadi atau tidak memberi kepuasan kepada diri saya.

"Saya rasa setiap kali berlakon dan melihat semula watak lakonan saya, pasti akan ada rasa seperti lakonan tersebut sepatutnya harus lebih baik lagi," katanya kepada mStar Online.

Azwan ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu berjudul Jalan Puncak Alam yang diadakan di TGV Sunway Pyramid, di sini, Selasa.

Azwan Kombos. Foto dari Instagram milik Azwan.

Filem bergenre seram arahan Dharma Aizat turut dibintangi pelakon Niezam Zaidi, Shahfiez, Epy Kodiang, Zakaria Zahid dan Iszander Nor.

Tambahnya lagi, perkara itu mungkin dilihat sebagai remeh oleh peminat tetapi dia tidak dapat menipu rakan-rakan rapatnya.

Ini kerana kawan-kawannya lebih mengenali dia dan mereka akan menyedari kelainan watak yang dibawanya berbanding diri dia yang sebenar.

"Ia seperti bila kawan-kawan rapat melihat lakonan saya mereka akan rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan lakonan itu tetapi bila orang ramai tengok akan rasa biasa sahaja.

"Tetapi ramai orang kata perasaan geli itu bagus untuk sesorang pelakon kerana ia sebenarnya akan memperbaiki mutu lakonan seseorang pada masa hadapan," jelasnya.

Jalan Puncak Alam mengisahkan mengenai dua orang pelajar yang mengalami pengalaman pelik dan menyeramkan ketika melalui Jalan Puncak Alam.

Mereka mengalami peristiwa yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan berdepan dengan makhluk yang pelik ketika berada di jalan tersebut.

Filem itu bakal menemui penonton pada 7 Mei ini.
Tags / Kata Kunci: Azwan Kombos

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan