Ibu Bertuah Bakal Rasa Masakan Siti Nurhaliza

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 5:32 AM

Siti Nurhaliza bersama Pengarah Urusan Nouvelles Visages, Erni Dekritawati Yuliana Buhari dan Pengarah Urusan OMGFest, Liza Baharom pada sidang media persembahan Mother's Day Mircle Night di Menara KL pada Rabu. Foto LOW BOON TAT.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal memasak hidangan istimewa sebagai penghargaannya untuk ibu bertuah yang akan hadir pada persembahan sempena Hari Ibu iaitu Mother's Day Mircle Night pada 15 Mei depan.

Siti, 36, berkata, dia akan memilih satu sajian khas yang akan dihidangkan bersama menu lain dan akan memasak secara langsung di hadapan penonton pada persembahan itu.

"Ini adalah satu kelainan dan penghargaan saya kepada kaum ibu bertuah pada malam itu dengan memasak hidangan istimewa untuk mereka.

"Bagaimanapun saya masih belum memikirkan menu yang sesuai mungkin menyediakan masakan Melayu seperti ketam telur masin atau pun ikan patin tempoyak," katanya kepada mStar Online.

Siti ditemui pada sidang media persembahan berkenaan di Menara Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Siti bakal menghadiahkan barangan peribadinya kepada penonton bertuah pada persembahan itu.

Mother's Day Miracle Night bakal diadakan di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM di sini pada pukul 8 malam.

Pelawak Nabil Ahmad dan Angah (Raja Lawak) bakal bertindak sebagai pengacara persembahan itu.

Dalam pada itu, Siti berkata, selain memasak dia juga akan menghadiahkan barangan kesayangannya kepada pemenang bertuah malam itu.

Jelas Siti, dia akan memilih pemenang secara spontan di kalangan ibu yang hadir dan menjanjikan barangan peribadinya itu adalah sesuatu yang istimewa.

Sementara itu, Siti berkata, dia bakal mendendangkan lapan buah lagu termasuk beberapa lagu yang bertemakan ibu.

Kata Siti lagi, kehadiran Nabil dan Angah diyakini dapat menggamatkan suasana dengan selingan sketsa dan lawak mereka berdua.

Siti bakal bergandingan bersama Nabil dan Angah (Raja Lawak).


"Ini kali pertama saya bekerjasama bersama mereka dan yakin kehadiran pelawak terkenal itu dapat menghiburkan lagi penonton yang hadir pada malam itu.

"Saya juga merancang untuk berduet sebuah lagu bersama mereka berdua dan nantikan kejutan daripada kami," katanya.

Mother's Day Miracle Night dianjurkan oleh OMGfest turut meraikan 30 anak yatim dari Pusat Jagaan Budaya Harapan yang antara lain bertujuan mengumpul sumbangan tabung kebajikan pusat berkenaan.

Tiket untuk menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu dijual dengan harga bermula RM3,990/meja (10 orang) hingga RM9,990/meja (10 orang).

Untuk sebarang pertanyaan mengenai persembahan itu boleh menghubungi talian 011-2626 1656 atau 019-279 6275.

Tempahan juga boleh dibuat menerusi www.redtix.airasia.com dan www.omgfest.my atau e-mel kepada booking@omgfest.my.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan