"Saya Anak Jins Shamsuddin Yang Sah" - Hang Tuah

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 7:56 PM

Hang Tuah tampil membuat penjelasan bagi memperbetulkan fakta dikeluarkan oleh ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah yang mendakwa Tan Sri Jins Shamsuddin hanya mempunyai tiga cahaya mata. Foto ART CHEN.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anak kedua Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Hang Tuah @ Shazrin menegaskan dia adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan kedua bapanya dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973.

Hang Tuah, 41, berkata, dia tampil membuat penjelasan itu kerana ingin memperbetulkan fakta dikeluarkan ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar harian 5 Februari lalu yang mendakwa bekas Ahli Dewan Negara itu hanya mempunyai tiga orang anak menerusi dua perkahwinan.

"Sidang media ini saya adakan kerana ingin memperbetulkan fakta dan menjelaskan kepada umum bahawa kenyataan Puan Sri Halijah Abdullah  bahawa bapa saya hanya mempunyai tiga anak menerusi dua perkahwinan adalah tidak tepat.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anak kandung beliau yang sah malah saya turut membawa beberapa bukti untuk mengesahkan perkara itu kepada semua," katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri mStar Online  di PNB Darby Park di sini pada Jumaat.

Pada sidang media berkenaan Hang Tuah turut ditemani oleh dua peguamnya, Abdul Malek Mokhtar dan Saiful Adli Mohd Arshad.

Hang Tuah (tengah) bersama dua peguamnya iaitu Abdul Malek (kanan) dan Saiful Adli menunjukkan bukti bahawa dia adalah anak kepada seniman veteran itu.

Adik bongsu Hang Tuah iaitu Putera Hang Nadim, 24, turut berada pada sidang media itu bersama beberapa ahli keluarga lain.

Menerusi laporan artikel berkenaan, Halijah mendakwa Jins Shamsuddin mempunyai dua orang anak bersamanya iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim manakala seorang hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Allahyarham Rahmah Rahmat iaitu Mohamad Jefri.

Halijah dalam artikel sama memberitahu dia membuat penjelasan itu selepas terdapat dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab konon suaminya mempunyai seorang lagi anak.

Dalam pada itu, Hang Tuah berkata, dia memanggil pihak media untuk membuat penjelasan itu kerana tidak mahu masyarakat terkeliru mengenai status sebenarnya biarpun berat untuknya mendedahkan perihal peribadi keluarga kepada umum.

Bagaimanapun katanya, pendedahan sebenar itu perlu dibuat bagi memastikan nama ibunya terpelihara daripada sebarang andaian negatif selepas artikel berkenaan diterbitkan.

Hang Tuah menjelaskan dia tidak berniat untuk memanjangkan isu berkenaan cuma ingin menjelaskan fakta sebenar.

Malah dia juga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu tirinya gara-gara perkara itu dan hanya ingin menjernihkan suasana.

"Saya buat sidang media ini bukan hanya untuk diri saya tetapi kerana ibu saya yang agak terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Halijah dan hanya ingin menjernihkan suasana.

"Tetapi tidaklah sampai saya ingin membawa kes ini ke mahkamah dan sekiranya beliau sedar ia satu kesilapan dia hanya boleh memohon maaf.

"Saya juga bukan mahu menuntut harta bapa dan tidak akan berkecil hati sekiranya tidak mendapat apa-apa pada masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, Hang Tuah berkata, bukti paling nyata dia adalah anak kandung Jins adalah menerusi buku biografi bapanya hasil tulisan Mohd Zamberi A. Malek berjudul Suria Kencana diterbitkan pada tahun 1998 yang menyebut pelakon itu pernah berkahwin dengan Jamilah pada tahun 1973 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu dirinya.

Anak bongsu Jins, Putera Hang Nadim turut hadir ke sidang media berkenaan.

Jelasnya, fakta menerusi buku berkenaan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak malah meminta pengesahan dibuat dengan penulis berkenaan yang kini menetap di Taiping, Perak untuk sebarang kepastian.

"Selain buku berkenaan status saya sebagai anak kepada Jins adalah sah di sisi undang-undang malah pengenalan diri bapa atau nama lainnya Mohamed Jin Samsudin atau Mohd Zain Samsudin adalah orang yang sama.

"Ia disahkan sendiri oleh pihak Ketua Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Negara  dan paling penting ia mengesahkan saya adalah anak kandung Jins Shamsudin," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hang Tuah berkata, dia tidak pasti mengapa ibu tirinya itu mengeluarkan kenyataan sedemikian dan tidak dapat mengesahkan sama ada wanita berkenaan mengetahui cerita sebenar tentang siapa dirinya.

Bagaimanapun Hang Tuah yang juga bekas juruterbang syarikat Air Asia X menjelaskan dia tidak menolak perkara itu berlaku berpunca daripada rasa kecewa ibu tirinya apabila dia tidak datang menjenguk bapa sejak empat tahun lalu.

Hang Tuah menunjukkan sijil kelahirannya. 

Hang Tuah jua tidak mahu mendedahkan punca sebenar mengapa dia enggan melawat bapanya dan hanya memberitahu ia berkaitan isu peribadi.

"Kali terakhir saya berjumpa ayah ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan saudara di Taiping dan sejak itu saya tidak pernah lagi menemuinya kerana alasan peribadi dan tidak boleh saya ceritakan di sini.

"Pun begitu, saya boleh katakan hubungan saya dengan ibu tiri dan adik-beradik lain sebagai 'biasa' dan tidak pernah bergaduh sebelum ini.

"Malah setiap kali Hari Raya kami pasti berkumpul bersama-sama di kampung dan kehadiran saya memang diketahui," jelasnya.

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai dirinya, Hang Tuah berkata, sejak dilahirkan dia dibesarkan oleh ibu saudaranya yang juga kakak kepada Jins iaitu Hazizan Samsudin di Taiping, Perak.

Jins Shamsuddin
Jins Shamsuddin kini berada dalam keadaan uzur.

Namun kata Hang Tuah, bapanya sering melawatnya di kampung dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepadanya biarpun hubungan mereka tidak rapat. 

"Saya hanya mengenali secara dekat ibu kandung saya sejak 10 tahun lepas kerana sejak kecil saya dibesarkan oleh ibu saudara di kampung malah saya memanggilnya dengan gelaran 'mak'.

"Ayah ada melawat saya dari masa ke semasa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa namun hubungan kami tidaklah terlalu akrab," ujarnya.

Jins Shamsuddin yang kini berusia 80 tahun tinggal bersama Halijah di Hulu Klang dekat sini dan keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer.
Tags / Kata Kunci: Hang Tuah , Hang Nadim.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan