Zara Zya Dedah Punca Sebenar Pembubaran Kelab Peminat

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2015 5:30 AM

Zara Zya kesal dengan tuduhan kononnya dia kini sudah berubah sehingga sanggup membubarkan kelab peminatnya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Zara Zya menyangkal dakwaan kononnya dia bertindak kejam apabila membubarkan kelab peminatnya iaitu Love Zara Zya tanpa memberikan alasan kukuh kepada pengurusan kelab berkenaan.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 30, menjelaskan, kelab peminat berkenaan masih wujud dan hanya menukar namanya kepada Zara Zya Loverz selain mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri kelab tersebut selepas pengurusan terdahulu mengalami masalah.

"Dakwaan itu fitnah tanpa mengetahui cerita sebenar disebalik keputusan saya menukar nama dan mengambil alih pengurusan kelab peminat itu.

"Ia masih ada dan tidak dibubarkan pun cuma namanya ditukar selepas pengurusan sebelum ini ada masalah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Zara mengulas mengenai artikel ruang gosip sebuah akhbar yang mendakwa dia kini mula berubah dan bertindak membubarkan kelab peminatnya yang banyak bertanggungjawab dalam mengundi setiap kali namanya tercalon dalam anugerah popular tanah air.

Dalam pada itu, Zara mengakui kesal dengan tuduhan tersebut yang tidak mempunyai asas kukuh selain ia mampu merosakkan reputasinya sebagai artis.

Jelas Zara, dia yakin pihak yang menabur fitnah itu bukan datang dari kalangan peminatnya dan tidak mengetahui agenda mereka berbuat demikian.

"Mereka yang bercakap tidak elok tentang saya menerusi isu itu bukan peminat saya dan apa yang diceritakan tiada asas kukuh tanpa mengetahui cerita sebenar," ujarnya.

Sementara itu, Zara berkata, dia lebih selesa mengendalikan Zara Zya Loverz kerana ia dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang ingin mengetahui perkembangan terbaharunya.

Malah kata Zara, dia turut mewujudkan ruang chatting di aplikasi We Chat bagi memudahkan peminat berhubung dengannya selain bertukar-tukar pandangan.

"Dengan masalah yang berlaku sebelum ini dengan pengurusan lama saya ambil langkah untuk kawal sendiri kelab peminat saya dan ia memberi lebih banyak ruang untuk kami berasa lebih dekat selain mereka mendapat info terus daripada saya.

"Selain We Chat saya turut membuka akaun Instagram Zara Zya Loverz dan saya sendiri memuat naik gambar-gambar untuk dikongsi bersama peminat," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Zara Zya , Zara Zya Loverz.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan