Kamal Adli Terima Tawaran MIG Kerana Rasa Terhutang Budi

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2015 5:00 AM

Kamal Adli selesa urus kerjaya sendiri.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli memberitahu dia menerima beberapa tawaran daripada syarikat pengurusan lamanya iaitu Metrowealth (MIG) kerana berasa terhutang budi kepada syarikat tersebut.

Kamal, 29, berkata,  dia juga rindu untuk bekerjasama semula dengan produksi di bawah MIG selepas dua tahun bebas daripada naungan syarikat berkenaan.

"Selepas dua tahun saya keluar daripaad MIG ini kali pertama saya kembali semula dan ada beberapa tawaran yang diberikan.

"Saya terima sebab rasa terhutang budi kerana syarikat ini yang membawa nama saya dalam industri lakonan, lagi pun rindu juga nak bekerjasama dengan mereka," katanya kepada mStar Online.

Kamal bergandingan dengan pelakon jelita Nora Danish dan Azwan Kombos dalam filem Isteri Untuk Dijual terbitan MIG yang sedang menjalani penggambaran.

Dalam pada itu, Kamal berkata, pihak syarikat pengurusan tersebut juga ada menawarkan dia untuk kembali di bawah payung MIG.

Namun, katanya, dia lebih selesa untuk bergerak dan menguruskan kerjaya lakonannya sendiri.

"Mereka ada juga tawarkan untuk kembali bawah MIG, tetapi saya fikir tidak perlu kerana buat masa ini saya boleh uruskan kerjaya saya sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamal berkata, dia baharu sahaja selesai penggambaran drama 26 episod berjudul Pergilah Air Mata bersama Nelydia Senrose dan Izreen Azminda yang bakal disiarkan di TV1.
Tags / Kata Kunci: Kamal Adli

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan