Jenazah Juwie Selamat Dikebumi

Diterbitkan: Sabtu, 4 April 2015 10:56 AM

Allahyarham Mama Juwie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru, pagi Sabtu.

(Ubah saiz teks)

SELAYANG: Wartawan hiburan veteran dan penulis lirik, Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Saleh, 62, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru, pada pukul 10.30 pagi Sabtu.

Allahyarham telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Jumaat, pada pukul 10.30 malam, akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah keluarganya di Selayang Baru di sini kira-kira pukul 3 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

 

Antara rakan artis yang menziarah Allahyarham buat kali terakhir sebelum disemadikan.

Jenazah disembayangkan di Surau Al-Tarbiah Darul Falah berhampiran Taman Selayang Baru dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 10.15 pagi Sabtu.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah keluarga Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.

Antara artis yang hadir termasuk Erra Fazira, Datin Umie Aida, Ziela Jalil, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Ahmad Nawab termasuk rakan-rakan media.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan HUKM pertengahan Mac lalu dan menjalani rawatan penyakit berkenaan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kesihatannya tidak stabil.

Juwie telah menjalani sekali lagi pembedahan pada Khamis lalu dan keadaannya menjadi bertambah kritikal apabila beberapa organ lain termasuk buah pinggangnya gagal berfungsi selain hanya bergantung kepada alat bantuan perubatan.

Mengenang kembali jasanya dalam bidang kewartawanan, Juwie terkenal dengan hasil penulisannya yang hebat dalam akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan majalah Mangga.

Selain bergelar wartawan, Juwie turut aktif dalam bidang penulisan lirik untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.

Tags / Kata Kunci: Mama Juwie

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan