"Bukan Saya Terkena Panggilan Hangit" - Mia Ahmad

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 12:03 PM

Pendatang baharu dalam dunia seni, Mia Ahmad.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelakon Mia Ahmad terkejut apabila sebuah akhbar melaporkan cerita dia menjadi mangsa ‘panggilan hangit’ mengaibkannya menerusi sebuah radio tempatan.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, dia tidak pernah menerima sebarang panggilan telefon daripada stesen radio seperti dilaporkan menerusi sebuah akhbar.

"Terkejut juga apabila mendapat tahu nama saya dikaitkan dengan segmen Panggilan Hangit tersebut kerana saya tidak pernah menerima apa-apa panggilan 'prank' seperti itu.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana kesilapan itu boleh berlaku tapi paling penting ia tiada kena mengena dengan saya," katanya kepada mStar Online.

Mia berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran di sebalik tabir drama slot Akasia 'Hati Perempuan' di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini.

Sebuah akhbar Rabu lalu melaporkan Mia telah menerima panggilan telefon menerusi segmen Panggilan Lebih Hangit daripada Hot FM yang mempersendakan dirinya sebagai pendatang baharu secara berlebihan.

Dalam pada itu, Mia berkata, dia mendapat tahu mengenai kesilapan fakta itu daripada kenalannya yang memaklumkan kepadanya dan terpanggil untuk membuat penjelasan di laman Instagram untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Inilah Lia Azmizza, artis sebenar yang terkena menerusi segmen usikan Panggilan Paling Hangit siaran Hot FM.

Kata Mia, pelakon sebenar yang dimaksudkan adalah Lia Asmizza namun menganggap kesalahan itu sebagai salah faham yang tidak perlu diperbesarkan.

Sementara itu, Lia Azmizza, 26, yang turut ditemui pada lokasi penggambaran tersebut memberitahu kesilapan itu berlaku mungkin disebabkan pihak berkenaan terkeliru di antaranya dengan Mia.

Lia bagaimanapun memberitahu, dia berasa kasihan kepada Mia kerana menerima kesan daripada kesilapan itu biarpun dia tidak mempunyai kaitan dalam hal tersebut.

"Kekeliruan itu berlaku mungkin sebab kami mempunyai iras wajah yang agak sama sehingga pihak akhbar tersebut tersilap orang. Bagaimanapun pada saya ia masalah kecil yang tidak disengajakan," katanya.

Menjelaskan mengenai Panggilan Hangit yang diterimanya, Lia berkata, ia dirancang oleh rakan baiknya sendiri dan tidak menganggap gurauan yang dilakukan kepadanya melampaui batas.

"Ia lawak semata-mata dan kalau betul saya terkilan dan rasa terhina kerana panggilan itu sudah lama saya memarahi kawan baik saya itu.

"Malah keluarga saya yang mendengar siaran pada pagi itu turut berasa terhibur kerana paling penting ia bukan memalukan keluarga," ujarnya.

Hati Perempuan yang dilakonkan kedua-dua artis berkenaan merupakan drama adaptasi novel yang akan disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 30 Mac depan menerusi slot Akasia di TV3.

Siarannya bermula pukul 7 malam.

Drama 28 episod arahan Kas Roshan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Syarul Ridzwan, Hafreez Adam, Aidil Aziz, Bella Nazari, Hafeez Mikail dan Nazmi Adhwa.
Tags / Kata Kunci: Mia Ahmad , Lia Azmizza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan