Wartawan Veteran, Penulis Lirik Juwie Meninggal Dunia

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 10:54 PM

Juwie (dua dari kanan) bergambar bersama teman-temannya di Mina ketika menunaikan ibadah Haji pada 2011.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wartawan hiburan veteran dan penulis lirik Juwie meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam Jumaat di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Saleh, 62, terdahulu dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan HUKM pertengahan Mac lalu dan menjalani rawatan penyakit berkenaan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kesihatannya tidak stabil.

Anak saudara Allahyarham yang dikenali sebagai Ina berkata, Juwie telah menjalani sekali lagi pembedahan pada Khamis lalu dan keadaannya menjadi bertambah kritikal apabila beberapa organ lain termasuk buah pinggangnya gagal berfungsi selain hanya bergantung kepada alat bantuan perubatan.

"Beberapa hari sebelum pembedahan arwah boleh berinteraksi tetapi hanya untuk dua hari sahaja tetapi dalam keadaan yang sangat lemah. Dia sempat meminta untuk dibelikan bubur nasi dan minuman dengan menulisnya di atas kertas," kata Ina ketika ditemui mStar Online di sini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di sebelah pusara ibunya di Selayang, dekat sini pada pukul 8.30 pagi Sabtu.

Juwie memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada tahun 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984.


Juwie (dua dari kanan) bersama teman-teman wartawan ketika bertugas di akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 1990-an. Gambar ihsan Utusan Malaysia.
Semasa di Utusan Malaysia beliau terkenal apabila mengendalikan ruangan pojok hiburan iaitu Auw! Juwie menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Editor Majalah Mangga pada tahun 1995 di syarikat yang sama sehinggalah bersara pada 8 Julai 2008.

Selepas persaraan itu, Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar menawarkannya untuk menjadi kolumnis hiburan di akhbar Berita Harian pada setiap hari Sabtu yang dikenali Salam Juwie.

Selain bergelar wartawan, Juwie turut aktif dalam bidang penulisan lirik untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.

Antara lirik lagu yang menjadi hit ciptaan beliau ialah Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) Bila Rindu Ku Sebut Namamu (Siti Fairuz), Sampai Hati (Spring), Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Masih Aku Terasa (Gersang) dan Meraung (New Boyz) dan Kad Ucapan (Norsheila Amin).

Juwie pernah menjuarai Juara Lagu pada tahun 1988 bersama komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu nyanyian Ramlah Ram.

Beliau juga pernah menghasilkan novel iaitu Sampai Hati.

Populariti Juwie itu menyebabkan kumpulan rock Bumiputra Rockers (BPR) menulis lagu khas untuk Allahyarham iaitu Juwie Juwie Juwie yang dimuatkan dalam album Selamat Pagi Malaysia yang diterbitkan pada 1987.

Semasa bersara, Juwie banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Tags / Kata Kunci: Mama Juwie.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan